Usai bersahur dan solat Subuh berjemaah di masjid, Vivi serta yang lain pulang semula ke rumah dengan menaiki kereta Vivi. Riuh suara mereka berceloteh di dalam kereta mengenai kuliah Subuh tadi.
"Best jugak sesekali pergi masjid, dapat dengar kuliah lagi. Seronok kan Kak Yah?"
"Ya, seronok Su. Alhamdulillah.. In shaa Allah, esok kita pergi lagi ya waktu Subuh?"
"Okay, kak.. In shaa Allah.. Alhamdulillah. Tenang je rasa hati ni, dapat jemaah kat masjid tadi." Ujar Mama Suzanne lagi lega. Mereka semua bersantai di hadapan rumah Mak Yah.
"Betul tu, bila berjemaah ni dapat banyak pahala, berlipat kali ganda! Lagi-lagi, dalam bulan Ramadhan yang mulia ni. Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan kali ni. Tahun depan, entah dapat ke tidak merasa lagi, kan Su?"
"Betul tu, Kak Yah. Dah tua-tua ni baru nak rajin ke masjid." Balas Mama Suzanne lagi. Vivi, Stella dan Wany tersentap mendengar kata-kata dari Mama Suzanne itu. Sedikit menjentik hati muda mereka.
"Sebab tu saya selalu bising-bising pada Wany dan Vivi ni untuk rajin pergi solat jemaah kat masjid tu." Sambut Mak Yah pula. "Mungkin awal-awal tu, adalah rasa malasnya lagi. Nanti lama-lama dah istiqomah ha, barulah rasa nikmatnya.."
"Saya dulu duduk kat London memang jarang sekali ke masjid kak. Yelah, masjid memang jauh. Pulak tu, duk selalu sibukkan hal dunia. Jadi, sekarang ni dah pulang semula ke Malaysia niatnya nak betulkanlah balik benda yang dah lama di tinggalkan tu, kak." Cerita Mama Suzanne panjang lebar.
"Takperlah, belajar balik perlahan-lahan. In shaa Allah, semoga Allah betulkan balik iman dan istiqomahkan hati Su tu.." nasihat Mak Yah.
Mama Suzanne mengangguk. Tiga anak dara itu juga turut mengangguk, mengiyakan kebenaran dalam kata-kata orang yang lebih makan garam daripada mereka.
Stella mendapat akal. Lalu, dia tersenyum sambil menggerakkan mata meminta Vivi melihat ke arah Mama Suzanne. "Bella, cuba tengok mama. Cantikkan mama?" Stella saja memancing reaksi Vivi mengenai hijrah Mama Suzannenya itu.
"Alhamdulillah.. Mestilah cantik! Vivi bersyukur sangat.. Tapi, sejak bila ma?" Tanya Vivi malu-malu.
Mama Suzanne kelihatan tersenyum manis ke arah mereka. Stella memeluk erat lengan Mama Suzannenya. "Kalau Bella nak tahu, mama bertudung lepas Bella pergi dulu. Banyak yang berubah tahu?"
"Alhamdulillah, baguslah tu. Itu salah satu jalan untuk kita dekat balik pada Allah.." Mak Yah memuji pendekatan Mama Suzanne.
"Terima kasih, Kak Yah." Balas Mama Suzanne tersipu malu.
"Patutlah, Wany ingat Wany salah orang semalam. Tu macam pelik sikit. Maaf, auntie.." Wany tayang gigi, tersengih.
"Wany pun, panggillah mama." Ujar Mama Suzanne sambil memandang Wany penuh kasih. "Itupun kalau mak Wany tak kisah lah."
"Takpelah, segan pulak rasa ni, auntie." Wany melihat reaksi maknya yang duduk disebelah. Tenang sahaja.
"Mak tak kisah, Wany. Lagipun, mama Su kamu ni, mak dah anggap macam keluarga dah." Kata Mak Yah juga tulus.
"Panggil jelah, Mama Suzanne dengan panggilan mama jugak, mak kau dah aku panggil mak so, mama aku pun mama kaulah jugak.." celah Vivi semangat. Di tepuk-tepukkan tangannya untuk meraih perhatian Wany. Berharap Wany menerima pelawaan mamanya.
"Betul ke ni? Kalau macam tu Wany ada mak, umi dengan mamalah ni? Wah ramainya.." Wany tersenyum girang sambil membayangkan wajah mak kandungnya, umi Ayie dan Mama Suzanne.
"Tapi, aku ada lagi ramai daripada kau tau??" Vivi mendabik dada. "Aku ada mak, umi, mama dan.." Vivi terdiam sejenak. "Ibu.." seru Vivi sambil menitiskan air mata apabila terkenangkan arwah ibu kandungnya. Sudah sekian lama dia tidak menziarahi kubur arwah ibunya. Derhakakah dia?