Hari pun berlalu dengan pantasnya, malam pula menjelang tiba. Usai solat Isyak, Vivi keluar duduk di ruang tamu. Malam semakin kedinginan. Tidak lama selepas itu, di rasakan pula tekaknya semakin kering.
"Mak Yah nak air panas?" Vivi bertanya sebelum berangkat ke dapur.
"Hmm.. boleh jugak.. tolong buatkan Mak Yah air teh panas boleh?"
"Boleh, Mak Yah. Sekejap ya?"
"Eh, aku?? Kau taknak tanya?" Celah Wany apabila melihat Vivi hanya berlalu pergi.
Vivi hanya terus berlalu ke dapur tanpa menoleh lagi. Tidak sampai sepuluh minit, Vivi datang semula bersama tiga cawan air yang berbeza-beza rasanya.
"Teh panas untuk Mak Yah.." Vivi meletakkan cawan di hadapan Mak Yah. "Horlick panas untuk V.." selepas itu, Vivi hanya membiarkan lagi satu cawan air milo di dalam dulang tidak terusik.
"V.. untuk aku??" Dah gaya cik puan besar dah si Wany bertanya.
"Amboii... orang bagi betis, dia nak peha pulak!" Marah Vivi sambil menjeling biasa.
"Biarkan si Wany tu, V. Pemalas benor. Buat air untuk diri sendiri pun malas.. Biar dia ambil sendiri, bukannya takda tangan punn.." Celah Mak Yah memenangkan Vivi.
Vivi pula sudah menjelirkan lidahnya ke arah Wany. Tersenyum kemenangan. Lagi sekali, dia dapat mengenakan Wany.
Lambat-lambat, Wany menghulurkan tangan ke meja untuk mengambil minumannya. Di helakan nafas yang kasar tanda protes melihat keakraban Vivi dengan emaknya.
"Esok, mak nak kamu masak asam pedas ikan merah kat dalam peti ais tu, Wany."
"Aikk? Bila masa pulak mak beli ikan merah tu?" Soal Wany sambil menghirup milo panas yang dibuat oleh Vivi.
"Beli apanya, tadi petang masa kamu tidur, Ayie datang rumah hantar ikan tu."
"Ohh.."
"Handsome jugak kan Mak Yah, si Ayie tuu.." puji Vivi.
"Ishh, kamu ni V.. Ayie tu memang molek dah orangnya.." puji Mak Yah pula.
"Kan Mak Yah kan kan kan?" Vivi mengajuk percakapan Ipin.
"Ehemm.." Wany berdehem membetulkan anak tekaknya.
"Hah! Ayie cakap umi rindu nak rasa masakan kamu. Kamu masaklah ya, Wany.." sambung Mak Yah lagi seakan terlupa.
Lama Wany terdiam seperti memikirkan sesuatu.
"Kalau Wany taknak masak, V boleh tolong masakkan.." saja Vivi mengusik untuk melihat reaksi cemburu Wany. Bilalah Wany akan mengalah ya?
"Ehh.. Takpe! Takpe! Orang boleh masakkan." Dengan pantas, Wany membalas. Tahu takut.. "Kenapa umi tak cakap kat saya terus je mak?"
"Alaa.. sama ja. Yang penting, esok kamu masak sedap-sedap. Susah tau nak dapatkan ikan merah tu. Ayie memancing sendiri.."
"Eh, bagus betul ya si Ayie tu Mak Yah? Ikan merah dahlah susah nak tangkap kan bukannya senang. Mesti gentle punya orangnya ni.." puji Vivi lagi sambil tersenyum nakal.
"Gentle apanya, gentle taik ayam!" Kata Wany sesudah menghabiskan air milonya dan hilang ke dalam bilik tidur.
"Merajuk lagi si Wany tu agaknya.." kata Mak Yah seakan-akan berbisik pada Vivi.
"Merajuk kenapa Mak Yah?" Vivi bertanya lebih lanjut. Tibalah masanya dia ingin mengorek semua cerita tentang sahabat baiknya itu dengan Won Ho/Ayie.
"Alaa.. cerita lama.. Dulu.. masa kecik-kecik, Ayie dan Wany tu rapat beno. Mungkin sebab depa lahir dekat-dekat, Ayie lahir seminggu lebih awal dari Wany. Diorang pun membesar sama-sama, main dan belajar pun sama-sama. Masa depa Tingkatan 4, Ayie terpilih masuk sekolah berasrama penuh. Lepas habis sekolah tu, Ayie tak balik dan terus menetap kat Kuala Lumpur, rumah kakak dia. Sampaikan dia dapat tawaran belajar kat luar negara pun, dia tetap jugak tak balik jumpa dengan Wany. Yang Mak Yah tau, diaorang memang dah berjanji nak pi belajaq kat universiti yang sama. Mungkin sebab tu, Wany masih merajuk sampai sekarang kot.." cerita Mak Yah bersungguh.