Vivi memandang telefonnya lama. Sudah dua hari semenjak malam itu, Ammar langsung tidak menghubunginya membuatkan hatinya sedikit menjauh. Geram juga rasa hatinya apabila memikirkan Ammar yang langsung berdiam diri tanpa khabar berita.
Vivi memutuskan untuk berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur bagi menenangkan hatinya yang lara. Vivi mengenakan blouse fishtails berwarna hijau pastel beserta shawl printed bunga matahari. Dia juga memakai kaca mata Horse and Carriage Lens Applique by Coach sebagai alat penyamaran. Dia tahu walaupun sekarang peminatnya tidak ramai seperti dahulu tetapi, dia masih harus berjaga-jaga.
Vivi fikir ramai yang tidak akan perasan tentang kehadirannya di situ tetapi, dia salah. Tidak sampai sejam Vivi berjalan-jalan seorang diri tetapi, sudah hampir 5 orang yang datang menegurnya dan ada juga yang mengajak bergambar dengannya.
Dia sememangnya tidak menyangka, dia masih mempunyai ramai peminat walaupun sudah hampir dua tahun dia meninggalkan kerjayanya bergantung tanpa tali. Dia nekad membuat keputusan untuk menyepikan dirinya dan meneruskan kehidupan seperti orang biasa setelah apa yang terjadi.
Cukup sudah pencapaiannya selama setahun sebagai anak seni. Dia melakukan semua itu untuk memenuhi impian arwah ibunya yang juga menjadi impian sementaranya. Kalau ibunya masih ada, Vivi berharap sangat yang dia akan bangga dengan dirinya. Vivi tersenyum rindu apabila terkenangkan arwah ibunya. Dia menadah tangan sambil menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah ibunya yang jauh di mata namun, sentiasa dekat di dalam hatinya. 'Vivi rindukan ibu sangat-sangat..'
Vivi menarik nafas sebelum dia masuk pula ke dalam Pavilion untuk menyuci mata. Sewaktu dia berlegar-legar di dalam itu, terdapat tiga orang pelajar perempuan sekolah menengah yang tersenyum-senyum memandangnya. Vivi turut membalas senyuman itu dengan ikhlas sekali.
"Ni Cik Vivi kan? Betul kan??" Tegur salah seorang daripada pelajar itu yang tiba-tiba sahaja berlari ke arah Vivi. Dua orang lagi sudah tersimpul-simpul duduk dibelakang kawannya itu. Mungkin malu.
Vivi mengangguk sambil tersenyum manis. "Ya, saya Vivi." Vivi menghulurkan tangan untuk bersalaman. Mereka menyambutnya dengan berbesar hati. Tidak menyangka orang yang terkenal seperti Vivi itu sudi bersalaman dengan mereka bertiga.
"Boleh tak kalau kitaorang nak ambil gambar dengan Cik Vivi? Kitaorang adore gila dengan Cik Vivi." Pinta pelajar yang menegurnya tadi.
"Sure!" Laju saja Vivi membalas sambil tersenyum senang hati. Vivi sempat membetulkan shawl bercorak bunga matahari yang dipakainya.
Tiga pelajar itu berdiri mengelilingi Vivi. Salah seorang darinya memegang telefon untuk berswafoto. Beberapa keping gambar dengan pelbagai gaya mereka abadikan bersama. Vivi juga turut mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar.
"Cik Vivi ni tinggi betullah! Cantik pulak tu! Patutlah jadi model terkenal.." Puji pelajar yang sama itu lagi. Dua orang itu masih lagi tersimpul malu.
"Hahaha.. Allhamdulillah, yang cantik dan indah hanya milik Allah SWT." Balas Vivi sambil tersenyum merendah diri.
Pelajar-pelajar itu tersenyum saling memandang antara mereka mengagumi kata-kata dari Vivi.
"Terima kasih, Cik Vivi. Bye!" Kata mereka bertiga serentak. Lalu, mereka bertiga pun pamit meninggalkan Vivi untuk meneruskan perjalanannya.
"Lemah lembut je kan Cik Vivi tu?" Puji pelajar yang lebih rendah berbanding dua orang sahabatnya itu.
"A'ah.. Dia bagi inspirasi kat aku nak jadi artis yang baik macam dia.. Pakej dia lengkap weii! Cantik, tinggi, baik hati dan lemah-lembut pulak tu.." tambah seorang lagi yang juga menegur Vivi tadi.
