Tiba hari yang dinanti...
Wany duduk termenung di satu sudut di dalam rumahnya sambil memerhatikan tingkah laku anak-anak buah serta sepupunya yang sedang bermain kejar-kejar.
Hendak turut serta sekaki nanti dikatanya perangai macam budak-budak!
Hendak membantu emak serta emak-emak saudaranya yang lain di dapur tetapi, dihalang keras.
Apatah lagi ingin membantu menyiapkan tempat makan di luar rumah pun semuanya ditegah!
Semuanya serba tidak kena!Ditambah pula, rasa bersalahnya terhadap Vivi masih menebal. Dia teringat insiden apabila selesai solat Subuh tadi, apabila dirinya terserempak dengan Vivi, Vivi hanya memberikan riak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku, membuatkan hatinya menjadi semakin tidak keruan. 'Kenapa V macam takda perasaan ni? Ke hati dia dah keras?' Soal Wany dibenaknya.
"V, V.. Hati kau keras!" Sempat mulutnya mengajuk baris kata di dalam cerita Gila Gila Remaja tahun 1986. 'Eh, cakap orang hati keras, habis kau tu hati lembut sangatlah?' Perli hatinya pula.
Sesudah itu, Wany hanya mampu mengetap bibirnya menahan rasa apabila mengenangkan insiden pagi tadi. Dia takut untuk berhadapan dengan Vivi. Takut hubungannya dengan Vivi berantakkan akibat luahannya semalam.
Tambah pula rasa malu dengan apa yang diluahkannya semalam. Pertama kali, dia meluahkan rasa cinta yang sudah lama di pendam sejujur-sejujurnya kepada kawan baiknya itu. Difikirannya sudah terbayang perkara-perkara yang negatif.
"Ya Allah, kamu buat apa kat situ, Wany? Pukul 10 karang rombongan lelaki sampai, ini sudah pukul berapa kamu tak siap-siap lagi ni?" Mak Long menegur separuh menyergah apabila terperasankan kelibat Wany yang tersorok di situ. Mak Longnya sudah bercekak pinggang gaya guru besar seperti memarahi muridnya. Serius benar lagaknya.
"Takpe, Mak Long.. Sekejap lagi Wany bersiaplah.." Wany tersengih menutup gementar dihati. Ada getar juga dalam suaranya. Takut.
Tiba-tiba, datang seorang gadis yang kecil molek terus menarik Wany bangun. "Kak Wany, kakak cantik tu panggil Kak Wany masuk bilik sekarang. Jomlah!" kata Dina, adik sepupu Wany yang juga anak Mak Longnya.
Wany masih blur, dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Pelik.
"V panggil kamu tu, pergilah masuk ke bilik kamu sekarang." arah maknya yang datang entah bila daripada dapur.
Terkocoh-kocoh Wany berdiri apabila tangannya ditarik sekali lagi oleh Dina. Dia pun mengikut langkah kaki Dina yang menuju ke arah biliknya. "Kenapa Kak Vivi panggil Kak Wany, Dina?" tanya Wany perlahan sambil menarik tubuh Dina menjauh dari pintu biliknya.
"Eh, Kak Wany ni, tanya orang pulak, manalah kita tahu. Dah, Kak Wany masuk jer!" balas Dina seperti mengarah. Gadis yang berusia 14 tahun itu pun pantas mengetuk pintu bilik.
"Masuklah.." jawab Stella dari dalam tanpa membuka pintu. Mulut Stella penuh dengan kuih apam. Kalau bakal jodohnya melihat kelakuannya di saat itu pasti tidak jadi nak masuk meminang. Buruk benar gayanya!
Tubuh Wany ditolak kasar oleh Dina sebelum dia menutup pintu rapat-rapat. Tidak mahu kakak saudaranya itu lari. Wany mengangkat wajahnya memandang Vivi dan Stella. Wany terkejut. "V?" Dia pelik melihat sahabat baiknya itu. "Kenapa kau tak siap lagi dan kenapa kau tak pakai baju tu?" Tanya Wany sambil menunjuk ke arah baju bewarna purple pastel itu.
Vivi memandang Stella. Stella yang faham terus sahaja mengambil baju tersebut dan disuakan ke tubuh Wany. "Nah, pakai!" Pinta Stella sambil menghiraukan perubahan pada wajah sahabatnya itu. Dalam hati sudah mengekek-ngekek ketawa. Kelakar melihat reaksi Wany.
