DSR~1

4.4K 174 57
                                        

PEHA Daryna Haira yang kembali lena itu, ditepuk perlahan-lahan. Dyan Uqasha tidak mahu Daryna Haira terjaga. Nanti susah untuknya bergerak ke pejabat.

Daryna Haira, walaupun baru berusia hampir empat tahun namun dia cukup petah berkata-kata.

Sikap manjanya, sangat menghiburkan hati. Keletahnya juga, sering menyejukkan hati.

Satu kepantangan Daryna Haira, apabila melihatnya bersiap. Dia akan mula merengek manja, kerana tahu dia akan ditinggalkan.

Mengenangkan keletah manja si anak, senyuman terus terbit dari bibirnya.

Lamunannya terhenti saat mendengar bunyi dari balik pintu bilik. Dia membuang pandangan ke arah itu apabila pintu tersebut terkuak.

"Dah siap?" Mak Leha bersuara perlahan seolah berbisik. Mak Leha juga tidak mahu suaranya menjadi punca Daryna Haira terjaga.

Dia sekadar mengangguk untuk menjawab persoalan Mak Leha itu.

Sebelum berlalu, sempat dia mencium dahi Daryna Haira dan mengusap ubun-ubun si manja kesayangannya itu.

"Jom, sarapan dulu. Mak Leha dah siapkan semua." Mak Leha tarik tangannya supaya mengikutinya ke ruang makan.

Dari pintu bilik lagi, dia sudah dapat menghidu bau nasi lemak menusuk ke hidungnya.

"Amboi, rajinnya Mak Leha hari ni. Mimpi apa pagi-pagi dah masak sedap-sedap ni?"

Mak Leha tersengih menerima pujian daripadanya itu.

"Dyan tu la... selalu balik lewat. Nanti dah balik, tak ingat dah nak makan. Jadi, biar pagi-pagi Dyan makan berat sikit. Senang sikit hati Mak Leha ni."

Dia tersenyum, terharu dengan sikap prihatin Mak Leha. Syukur, masih juga ada yang peduli tentang dirinya.

Mereka mengambil tempat dan dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan dan dihulurkan kepada Mak Leha.

"Tapi, jangan hari-hari macam ni Mak Leha, gemuk Dyan nanti." Mak Leha geleng kepalanya.

"Gemuk apanya Dyan oi. Makan pun tak menentu. Ingat Dyan, kesihatan kena jaga juga. Dyan tu nak kena jaga Daryna. Kalau Dyan sakit, macam mana?"

Dia membalas dengan senyuman hambar.

Ya, dia sedar dia perlu kuat. Dia perlu menjaga Daryna Haira. Sekarang, hanya anaknya itu satu-satunya yang dia punya.

Tapi, dia ada Mak Leha juga.

"Kalau Dyan sakit, Mak Leha kan ada," katanya kemudian dengan senyuman mengusik.

"Mak Leha ni pun, kalau bukan sebab kamu, entah macam mana la Mak Leha nak terus hidup." Mak Leha sudah berwajah sayu.

Dia yang perasan akan hal itu terus mengusap kekura tangan Mak Leha.

"Kalau Mak Leha tak ada, Dyan pun tak tahu macam mana nak hidup lagi. Sudah la..." Tangan yang diusap tadi ditepuk kecil.

"Jangan sedih-sedih. Mak Leha yang ajar Dyan, pagi-pagi kita kena senyum. Ha, senyum sekarang!" Lebar terus senyuman Mak Leha apabila melihatnya acah-acah mahu menjadi garang itu.

"Dyan, Mak Leha tanya ni, jangan ambil hati pula, ye." Suapannya jadi terhenti.

Dia pandang Mak Leha, memberi isyarat untuk Mak Leha meneruskan. Dengarnya seperti hal serius yang mahu Mak Leha bangkitkan.

"Dah hampir lima tahun, Dyan. Sampai bila nak macam ni?" Mendengar soalan tersebut, terus dia meletakkan sudu dan garfu yang dipegang ke atas pinggan.

Demi Sebuah RasaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang