DYAN Uqasha terus mendiamkan diri di dalam bilik. Selepas dia mengikut Faid Harraz bertemu dengan Sam tadi, ternyata jiwanya lebih berkecamuk.
Dia serabut!
Selama lima tahun, dia hanya menjalani hidupnya sendiri. Tidak peduli dan tidak memikirkan tentang yang lain lagi. Baginya, hidup dia sudah cukup teruk. Sangkanya, dia yang paling terkesan akibat kejadian malam itu. Tapi...
Dia mendegus! Marah dengan dirinya sendiri. Marah dengan setiap kejadian yang tidak mampu dia ulang lagi.
Hari ini juga, dia baru mendapat tahu akan punca kejadian malam itu. Biar sebelum ini dia sering dipenuhi dengan beribu persoalan, persoalan tentang bagaimana semuanya boleh terjadi... namun dia tidak pernah punya tempat untuk meluahkan semuanya. Sesungguhnya, dia sudah terputus hubungan dengan semua.
Semua, hilang begitu sahaja. Selepas hidupnya berubah, berputar 360 darjah!
Aidit!
Satu nama ini, sedikit pun tidak pernah singgah dalam simpanan memorinya. Rupanya, lelaki itulah yang sebenarnya gigih berusaha untuk merosakkan hidupnya pada malam itu. Hanya kerana sebuah dendam yang ingin dilunaskan.
Huh!
"Masa kami semua kelam-kabut nak halang Aidit, aku suruh Lara sorokkan kau. Tapi..."
Dia memberi sepenuh fokusnya kepada Sam, lelaki yang dia kenal sebagai kekasih sahabatnya itu selama ini.
Berkerut-kerut wajahnya saat mendengarkan sejarah lama itu diungkit kembali. Sejarah lama yang gelap warnanya!
"Lara memang gelabah gila time tu. Bayangkan kau memang dah totally lost! Dia nak kawal kau pun dah satu masalah besar."
Tertelan air liurnya. Sumpah, kejadian yang satu ini, sedikit pun tidak pernah datang menyapa dalam memorinya.
"Jadi, elok dia jumpa je bilik pertama, terus je dia masukkan kau ke dalam dan tutup pintu bilik tu. Lepas tu terus dia turun balik ke bawah. Sebab kat bawah memang kecoh time tu."
"Bila semua dah settle, kami pun dah berjaya halau Aidit yang berkeras nak juga bawa kau balik dengan dia malam tu... barulah kami teringatkan kau. Serius aku sendiri terkejut bila Lara bagi tahu aku bilik mana dia sorokkan kau."
Terangkat keningnya saat ini. Spontan pandangannya jatuh kepada Faid Harraz yang juga diam sepertinya sedari tadi. Faid Harraz juga turut menumpahkan pandangan kepadanya.
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...