TELEFON yang terbiar di atas meja kecil sebelah katilnya itu dicapai. Direnungnya lama dan menimbang-nimbang untuk membuat satu panggilan.
Atau...
Ah, dia sendiri keliru dengan segala yang terbentang di hadapan matanya kini.
"Kenapa Dyan macam pelik? Bila nak korek pasal dia je, mesti dia mengelak."
Sam juga seolah sama seperti dia yang sedar akan hakikat itu. Dia sudah cuba untuk berbaik sangka. Tapi, memang kenyataan yang dapat dia simpulkan...
Dyan Uqasha memang selalu bersikap pelik! Seolah... ada sesuatu yang dia mahu sembunyikan.
"Kau tahu kenapa dia pindah?"
Solan Sam itu dibiarkan sepi tanpa berjawab. Dia sendiri pun menagih jawapan yang sama dari tuan empunya badan.
"Lara selalu cakap dengan aku, Dyan ni boleh tahan kaya. Masa dorang lepak kelab dulu, Dyan la selalu spedo dia. Lara bukan orang senang... kau pun tahu, kan?"
Fikirannya penuh dengan pelbagai andaian. Tanda tanya yang timbul langsung tidak mampu menemui jalan keluar. Semuanya buntu.
"Dah kalau dia memang hidup senang, agak-agak kau kenapa dia tinggal sendiri sekarang? Kat rumah teres kos rendah pulak tu? Boleh je nak pindah kondo, kan... Duit bapak dia banyak kot?"
Keluhan berat terlepas keluar. Lagi dan lagi.
Apa sebenarnya yang cuba Dyan Uqasha sembunyikan?
Dyan Uqasha yang dia kenali satu masa dahulu, masih juga sama dengan yang dia kenali sekarang.
Tidak mesra!
Agak sukar untuk dia mendekati Dyan Uqasha. Apatah lagi mahu menjadi rapat.
Perasaan yang dia punya terhadap gadis itu sudah lama membiak, namun sekali pun tidak mampu terlahir keluar dari mulutnya.
Dia keliru. Dia risau.
Dulu, fikirnya Dyan Uqasha tidak sukakan sebarang komitmen. Mungkin kerana dia mahu hidup bebas tanpa rasa terikat. Sebab tu, biar Lara Aulia, sahabatnya itu sudah punya Sam sebagai kekasih pun, dia tetap memilih mahu bersendiri.
Sedikit pun, dia tidak membuka ruang supaya dirinya mudah untuk didekati. Segar lagi diingatan saat Aidit cuba memecahkan ruang yang terbina. Namun, segalanya berantakan.
Segala yang terjadi, lebih menguatkan lagi rasa yang mula timbul dalam hatinya terhadap gadis itu.
Ya, dia sedar. Mereka bertemu di satu tempat yang memang tidak sesuai pun untuk dijadikan tempat mencari pasangan hidup. Tapi...
Dyan Uqasha itu, berbeza. Dalam lembutnya, dia tidak lemah. Dalam liarnya, dia tidak murah. Dalam sosialnya, dia tidak mesra.
Itu semua membuatkan hatinya semakin lama semakin terpaut kepada gadis itu.
Jujurnya, dia agak lega saat mengetahui yang Dyan Uqasha 'bersama' dengannya pada malam bersejarah itu. Bayangkan sahaja kalau benar Aidit yang berjaya dengan rancangannya.
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...