DYAN Uqasha pandang lelaki yang pernah dia berkongsi memori itu, kemudian laju dia mengalihkan pandangan ke arah Daryna Haira.
Silih berganti pandangannya.
Satu sahaja yang berada dalam fikirannya kini. Dia, tidak mahu Faid Harraz tahu kebenaran mengenai Daryna Haira.
Cepat-cepat dia menarik tangan Daryna Haira supaya sentiasa rapat di sebelahnya. Pegangannya, dikuatkan!
Dia mahu melindungi anaknya ini. Lindungi dari segala atau sesiapa pun juga yang mahu mengambilnya dari dirinya.
Ah, jauh betul pemikirannya sudah melayang pergi. Entah mengapa, melihatkan Faid Harraz yang nyata berdiri berdepan dengannya kini... dia merasa tergugat. Rasa tidak selamat!
Sedang Faid Harraz yang berdiri di depannya itu terus sahaja terdiam kaku.
Pandangan mata Faid Harraz hanya berpaksikan ke wajah Dyan Uqasha. Wajah yang sudah bertahun hanya mampu dia pandang melalui sekeping gambar yang dibingkai khas.
Dia rindu.
Terlalu rindu!
Sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa setelah Dyan Uqasha benar-benar sudah berada dalam taklukan pandangannya.
"Dyan..." lirih sahaja suaranya yang mampu terkeluar.
Dia merasa gembira yang teramat dan dalam masa yang sama dia juga merasa sangat terharu. Inilah dia, akhirnya!
Setelah bertahun dia mencari dengan pelbagai usaha...
Perlahan-lahan senyuman gembira mula terukir di bibirnya. Sedikit pun dia tidak menyangka, bahawa pertemuan di antara mereka akan terjadi dalam keadaan tidak dirancang begini!
Tapi, Dyan Uqasha kelihatan canggung. Seolah pertemuan ini, sangat menekan dirinya!
"Lama aku cari kau. Bertahun Dyan! Kenapa kau pergi macam tu je?" Faid Harraz melangkah setapak untuk lebih dekat dengan insan yang sudah lama dia rindui itu.
Namun, serentak Dyan Uqasha turut mengundur setapak ke belakang. Terkesima Faid Harraz dengan tindak balas daripada Dyan Uqasha itu.
Terhenti terus langkah yang dia atur tadi. Rautnya turut berubah! Berkerut wajahnya melihat Dyan Uqasha yang ternyata sudah banyak berubah.
Dyan Uqasha pula semakin dikuasai oleh rasa takut. Baru beberapa minit pertemuan ini, Faid Harraz sudah mula mengungkit sejarah lalu.
Sudah hampir lima tahun. Sekalipun, dia tidak pernah terfikir akan bertemu lagi dengan lelaki ini.
Lelaki yang telah mengubah sejarah hidupnya menjadi seperti hari ini.
Lelaki yang masih kekal dalam ingatannya, walau tidak pernah sekalipun dia cuba untuk mengenang.
"Kau dan aku sama-sama tak bersalah. Lupakan semua!" Faid Harraz beriak tidak puas hati.
"Lupakan? Semudah itu?" Bertaut kening Dyan Uqasha.
Apa yang lelaki ini mahukan? Dia, tidak pernah terlintas sedikitpun mahu menuntut apa-apa daripada lelaki ini! Tidak cukupkah lagi semua itu?
Saat ini, pandangan Faid Harraz jatuh pula kepada anak kecil yang seolah mahu disorokkan Dyan Uqasha di sebalik tubuhnya. Mengecil pandangannya, fokus diberi kepada kanak-kanak itu.
"Ni siapa?" soalnya kedengaran agak curiga bunyinya.
Faid Harraz mendekati lagi, kali ini dia mahu melihat anak kecil itu. Tapi, sekali lagi Dyan Uqasha melarikan anak kecil itu ke sebelah lain tubuhnya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
Chick-LitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...
