SEPERTI biasa, saat kaki Dyan Uqasha melangkah masuk ke dalam pejabat, dia pasti akan disambut dengan beberapa pasang mata sinis yang tidak jemu-jemu memberi tumpuan kepadanya.
Seperti biasa juga, dia akan terus sahaja melangkah tanpa mempedulikan semua itu. Seolah-olah, mereka semua itu tidak wujud pun.
Sampai di ruang kerjanya, dia terus menghidupkan komputer dan berlalu ke pantri untuk membancuh air.
Untuk seketika, dia termenung mengenangkan khabar angin yang pernah sampai ke telinganya.
"Kerja kerani macam kita juga, tapi kau tengok kereta dia pakai. Mampu ke dia nak beli kereta macam tu?"
"Itulah, dah la sombong. Tengoklah, dah berapa lama kerja kat sini, berapa kerat sangat kawan dia."
"Aku rasa, dia tu ada pasang sugar daddy kot. Kalau tak kena bela, mana nak boleh hidup mewah macam tu."
"Aku setuju tu. Mentang la cantik, boleh la nak ada sugar daddy. Tapi, lama mana cantik tu nak bertahan?"
Dia pejam mata rapat-rapat. Kalau boleh, dia tak mahu pun mengingati atau pun ambil peduli. Tapi, kata-kata itu bagai bayang-bayang yang sentiasa mengekori.
Keluhan dilepaskan lagi sebelum dia membawa mug berisi kopi panas ke ruang kerjanya.
Saat melintasi beberapa orang rakan sekerja, dia tidak sedikit pun memandang ke arah mereka. Tidak perlu!
Pandang pun, untuk apa? Untuk menerima senyuman mengejek? Jadi, lebih baik dia begini. Sekurang-kurangnya, hatinya tidak berjaya mereka usik.
Jujurnya, dia lebih selesa begini. Dia tidak kisah jika dia tidak punya kawan. Dia bekerja pun, dengan niat mahu meneruskan hidup. Yang lebih penting, dia mahu Daryna Haira mendapat kehidupan yang selesa.
Selepas dia keluar dari rumah papa, dia memang sangat bergelut untuk meneruskan hidup. Sehingga pernah sampai satu tahap, dia terasa seolah mahu sahaja menyerah kalah.
Namun, semua itu mengajar dia hakikat sebuah kehidupan, lebih penting lagi, semua itu mengajarnya untuk menjadi lebih kuat.
Dalam masa yang sama, dia juga merasa bersyukur kerana papa dan mama hanya menghalau dia dari rumah. Tapi, segala harta yang dia punya, sedikit pun papa tidak menariknya semula.
Alhamdulillah.
Dengan berbekalkan wang yang sememangnya akan dimasukkan setiap bulan ke dalam akaunnya oleh papa semasa dia masih diiktiraf sebagai anak, dia terus mencorakkan hidup yang bakal ditempuh.
Selain itu, kereta yang papa hadiahkan semasa hari lahirnya yang ke-20 juga dia dapat bawa bersama.
Ya, untuk semua itu dalam diam dia sangat berterima kasih kepada papa dan mama.
Bayangkan sahaja jika semua itu turut ditarik darinya? Entahlah... pasti dia akan kehilangan arah.
Tapi, disebabkan kereta yang papa hadiahkan itu jugalah dia kini menjadi mangsa fitnah rakan sekerjanya.
Ah, pedulikan saja!
Dia tidak pernah mengganggu hidup sesiapa pun. Nak kata dia dibela sugar daddy pun, dia tidak peduli.
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...