DIA berbaring membelakangi semua. Entah berapa lama dia sudah tertidur, bangun-bangun sahaja sudah ada tetamu lain yang berada di dalam wadnya.
Jika tadi cuma ada Faid Harraz dan Daryna Haira yang menemani, kini bilangan tetamu untuknya telah bertambah.
Sejujurnya, kehadiran mama dan papa memang sedikitpun tidak dijangka. Dia sedar di mana kedudukannya. Dia tahu, dia bukan anak yang selalu dibanggakan. Dia sendiri sudah lali dengan perasaan itu semua.
Perasaan yang sentiasa merasa tersisih daripada memperolehi perhatian kedua orang tuanya itu. Kalau satu waktu dahulu, dia pernah tidak peduli pun akan sebuah rasa yang mendambakan perhatian tetapi seiring waktu, semuanya jadi berubah.
Tak sangka, tersisih dari kedua orang tua... rasanya sangat sakit dan perit.
Apatah lagi di saat dia perlu melalui saat sukar dan memerlukan bimbingan. Jujurnya, waktu itu dia sangat berharap yang dia akan menerima setidak-tidaknya sedikit perhatian daripada mereka, namun semuanya hampa.
Henyakan tilam yang dirasakan di sebelah belakangnya secara tiba-tiba terus merentap lamunannya. Dia membuka luas matanya. Menanti siapa gerangan yang telah mendekatinya itu.
Tidak lama, terasa bahunya pula disentuh. Lebih tepat, seolah dirangkul dari belakang.
"Dyan..." Suara sendu mama yang menampar pendengarannya.
Dia terkesima.
"Anak mama okey?" Mama ketatkan rangkulan di bahunya. Wajah mama pula melekap kemas di bahunya.
Dia, hanya mendiamkan diri. Terkedu dengan tindakan tidak dijangka daripada mama itu.
Mama, tidak pernah seintim ini dengannya. Sudah lama, sangat lama keintimannya dengan ibu kandungnya ini sering diletakkan batas.
Selama ini, hubungan anak beranak diantara mereka terjalin seolah hanya termeteri di atas kertas sahaja. Sejak dia pandai menguruskan diri, dia hanya dibiar berdikari mencari arah.
Sehinggalah, arah itu membawanya ke sini.
"Mama risaukan Dyan..." Dia kemam bibirnya.
Mengapa kedengaran tulus benar ucapan mama itu? Rasa sebak mula mengambil alih segenap rasa yang sedia wujud dalam dadanya.
"Dyan..." Mama cuba menarik tubuhnya supaya memandang ke arah mama.
Tubuhnya yang berada dalam keaadaan tidak bersedia terus sahaja mengikut tarikan mama itu.
Sejenak, mata mereka bertentangan. Jelas dia melihat mata mama yang digenangi air.
"Anak mama okey?" Dia pandang mama. Memandang dengan pandangan yang kosong.
Bibir dikemamnya. Dia menahan rasa sendu yang sedang menggila mahu membuak keluar.
Soalan mama itu dibiarkan sahaja tidak berjawab.
Okey?
Macam mana dia nak okey?
Dalam keadaan dia baru sahaja merasa kehilangan...
Bagaimana dia nak okey?
Dia tak okey?
Tak... Sangat-sangat tidak!
Tapi... semua rasa itu hanya tersimpan penuh di dalam dada. Dia tidak mahu meluahkan.
Mama usap perlahan pipinya. Air mata mama jelas kelihatan bergenang.
Dia juga.
Matanya juga bergenang. Bergenang lebat! Bila-bila masa sahaja air matanya itu akan melimpah turun.

ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...