SEDARI tadi dia sudah berdiri tegak menadah telinga mendengar bebelan Encik Amir.
Entah angin apa yang tiba-tiba membadai mood Encik Amir sehinggakan kesalahan kecil yang dia lakukan telah menjadi kudis untuk ketuanya itu.
"Ya saya tahu, benda ni masalah kecil. Tapi, kalau dibiar tak bertegur, lama-lama jadi apa?" Dia ketap ketat rahangnya.
Konon bagi soalan je tu, nanti kalau dia jawab pun jadi masalah juga tu. Jadi baik dia berpura-pura jadi batu.
"Awak dengar tak Dyan?" Terangkat terus bahunya.
Bukan nada Encik Amir yang membuatkannya terkejut, tetapi hentakan kuat Encik Amir ke mejanya yang menyentaknya tika ini.
Laju dia menaikkan wajahnya, matanya terus mencari anak mata Encik Amir. Ditentang terus mata itu tanpa rasa getar.
"Saya tengah dengar kan ni?" soalnya sedikit kasar bunyinya. Perasaan geram terus menyerbu masuk ke relung hatinya.
Ketuanya itu hanya mendecit.
"Saya tak nak awak ulang lagi kesilapan sama. Ini last warning!" Dia mendegus.
Last warning la sangat! Dia tarik muka tidak puas hati.
Silapnya tadi, cuma tersilap hantar fail peminjam kepada Encik Amir. Ala, bukan masalah besar mana pun. Suruh tukar, dah selesai.
Nak dijadikan cerita, nama peminjam itu hampir sama keduanya. Beza cuma pada nama ayah di belakang sahaja. Itu pun Encik Amir nak berkira sangat.
Sakit pula hatinya.
"Macam mana awak buat kerja? Fokus awak ke mana?" Dia tahan sabar mendengar bebelan Encik Amir itu.
Tapi tak mengapalah. Dia akan terus bersabar. Malas nak bertekak. Lelaki di hadapannya ini ketua yang perlu dia hormati.
Kan?
"Saya tak mahu awak bawa personal problem ke dalam ofis ni. Faham?" Bertaut keningnya.
Personal problem?
Apa maksud Encik Amir ni?
"Awak jangan ingat saya tak dengar rumors tentang awak dalam ofis ni. Hari-hari ada sahaja cerita pasal awak yang saya dengar."
Dia lepas keluhan.
Ini sudah melampau. Apa kaitan semua itu dengan silap kecilnya sebentar tadi?
Baru sahaja dia mahu membela diri, telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja kerjanya bergetar.
Dia jeling sekilas. Tertera nama Mak Leha. Terdetik sesuatu di hatinya. Jarang Mak Leha akan mengganggu semasa dia sedang bekerja.
Talian itu mati apabila tidak dijawabnya. Dia sudah keresahan apabila Encik Amir belum punya tanda-tanda mahu menghentikan bebelannya.
Bertambah resah apabila telefon pintarnya berkali-kali bergetar selepas itu. Tetap juga nama Mak Leha yang tertera.
Sumpah, dia sudah tidak senang duduk ketika ini. Dia dapat rasakan pasti ada sesuatu yang tidak kena kepada Mak Leha.
Nafas ditarik dalam-dalam. Encik Amir yang masih sedang membebel di hadapannya itu, sebutir perkataannya pun sudah tidak lekat ke dalam otaknya.
Dia terus dihantui rasa gelisah. Tidak sabar dia mahu membalas panggilan Mak Leha semula.
Entah kesulitan apa yang sedang melanda wanita itu kini?
Hatinya juga, semakin merasa tidak enak. Apa lagi yang dah jadi ni?
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...