DYAN Uqasha tekun menyiapkan kerjanya. Lagi beberapa hari, mesyuarat di antara ahli lembaga pengarah akan diadakan. Jadi dia harus memastikan segala permohonan pinjaman yang dimohon oleh ahli koperasi telah lengkap diproses untuk pembentangan semasa mesyuarat untuk proses kelulusan pula.Melihatkan kepada jumlah yang perlu diproses, hanya tinggal beberapa borang sahaja lagi yang perlu disiapkan. Jadi, dia tidak perlu tergesa-gesa untuk mengejar masa. Senyuman kepuasan sudah mula terukir di bibirnya.
"Dyan!" panggilan dari Kak Rosie mengalih tumpuannya.
"Encik Amir suruh masuk bilik dia. Sekarang!" Dyan Uqasha mula rasa tidak sedap hati.
Encik Amir itu, pengurus di sini. Syarikat kecil begini, pengurus merupakan orang paling besar jawatannya di sini. Kak Rosie tadi pula merupakan Eksekutif Kanan merangkap pembantu Encik Amir.
Dia terus bangun dari duduknya. Sambil melangkah menuju ke bilik Encik Amir, dia cuba mengingat kembali kalau-kalau ada silap yang dia lakukan.
Sampai di depan pintu bilik yang dituju, dia hanya mengetuk sekali dan terus membuka pintu untuk masuk.
Kelihatan Encik Amir yang baru berusia awal 30-an itu sedang ralit dengan kerjanya. Namun, sempat dia memberi pandangan sekilas sebelum dia disuruh duduk di kerusi yang bertentangan dengan Encik Amir.
Seketika, suasana hanya ditemani keheningan. Encik Amir nampaknya sangat fokus dengan kerjaannya.
Dia mula menjadi resah. Nak ditunggu berapa lama? Dia sendiri punya banyak kerja yang perlu disiapkan.
Keluhan perlahan dia lepaskan. Serta-merta Encik Amir mendongak dan memandangnya. Ternaik sedikit keningnya, kerana merasa sedikit bersalah kerana berkelakuan tidak sopan.
"Ha, Dyan." Encik Amir menegur seolah baru menyedari kehadirannya di dalam bilik itu. Adeh!
Nasib baik juga dia mengeluh tadi rupanya, kalau tidak mahu hanyut Encik Amir ini dengan kerjanya. Mereput la dia menunggu di situ.
"Macam ni, borang untuk dibawa masuk ke mesyuarat awak dah siap proses ke?" Encik Amir bertanya namun tangannya masih ligat dengan kerja-kerjanya.
"Hampir siap, Encik Amir. Kenapa?" Kali ini, Encik Amir pula mengeluh sedikit.
"Awak proses sampai berapa hari bulan?" Berkerut dahinya dengan soalan Encik Amir itu.
"Macam biasa la, Encik Amir." Encik Amir angguk kepalanya berkali-kali. Pen yang sedari tadi setia ditangannya, diletakkan ke atas meja.
Encik Amir duduk bersandar seolah mahu selesakan diri. Kemudian matanya ditumpukan kepada pekerja di hadapannya itu.
"Tadi, Datuk Rashid call. Ada budak dia baru hantar borang..." Dyan Uqasha sudah pegang dahinya.
Mendengar ayat tergantung Encik Amir itu sahaja dia sudah faham benar apa arahan seterusnya nanti.
"Aduh, banyak tau Encik Amir borang yang ada kalau nak masukkan sampai hari ni punya," rungutnya. Mukanya juga sudah berkerut. Serabut!
"Saya tahu. Tapi, awak pun tahu. Kita ni hanya terima arahan, je!" Terus dahinya dipicit seolah diserang sakit kepala secara tiba-tiba.
"Mesyuarat lagi tiga hari Encik Amir..." Dia memohon sedikit belas.
Encik Amir sekadar angkat bahunya.
"Nak buat macam mana. Awak buat je apa yang boleh. Kalau perlu OT, silakan. Gaji awak akan dikira nanti."
Dia diam. Tidak puas hati.

ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...