BAHU Mak Leha tetap sedia menjadi alas untuk dia melepaskan segala kesedihan.
Malam itu, selepas pulang dari rumah papa, dia terus menangis semahunya di bahu Mak Leha.
Dia tahu, hanya Mak Leha yang dia punya. Hanya Mak Leha yang benar-benar faham segala apa yang tersirat dalam hatinya.
"Sabarlah, Dyan. Dyan dah buat keputusan, kan?" Dia mengangguk tanpa mengangkat kepala dari bahu Mak Leha.
"Dah tu?" soal Mak Leha risau.
"Dyan sedih. Sedih sangat," luahnya sendu.
"Mak Leha... kenapa mama dan papa tak macam orang lain? Yang sayang dengan anak mereka? Yang peduli dengan anak mereka?"
Mak Leha lepas keluhan.
"Tak akan pernah ada mak dan ayah yang tak dikurniakan rasa sayang, Dyan." Dia tidak berpuas hati dengan jawapan Mak Leha itu.
Siapa kata tak ada?
Itu mama dan papa dia... pernah ke mereka sayangkan dia?
Pernah?
"Mama dan papa... Dorang tak sayang pun Dyan..." Lemah suaranya.
Dia sudah penat sebenarnya. Penat mencuba menjadi seorang anak kepada ibu bapa yang tidak peduli pun akan kewujudan dia.
"Tak baik cakap macam tu. Mama dan papa bekerja keras selama ini untuk siapa? Besarkan Dyan, bagi Dyan sekolah, belajar pula lagi, bagi kereta, kemewahan... Itu apa kalau bukan sayang, Dyan?"
Dia terdiam. Berfikir sebenarnya... benarkah semua itu kerana sayang?
"Kita jangan berburuk sangka Dyan. Ingat, kadang kala sesuatu yang terjadi tu, sebab kita sedang diuji oleh Dia."
Dia masih juga memilih untuk berdiam.
"Semua tu, ujian Allah Dyan. Ujian Allah ni banyak bentuk dia. Ada yang diuji dengan kesempitan hidup. Ada pula yang diuji dengan kemewahan yang melimpah ruah."
Dia kemam bibirnya. Mengenangkan nasib diri yang tidak dipedulikan, sangat menyakitkan.
"Dyan derhaka ke Mak Leha?" Mak Leha renggangkan tubuh mereka. Wajahnya, Mak Leha tatap sayu.
"Mak Leha tahu, Dyan nak mama dan papa semula. Tapi, dalam masa yang sama Dyan juga nak mempertahankan Daryna." Dia angguk lemah.
Kenapa mama dan papa bencikan Daryna Haira? Anak kecil itu tidak berdosa.
"Jangan terlalu banyak fikir, Dyan. Kita doakan untuk mama dan papa. Semoga terbuka hati mereka untuk menerima Daryna nanti."
Dia tarik nafasnya. Sukar untuk dia percaya akan sampai masa untuk mama dan papa akhirnya akan menerima anaknya itu.
Dia lihat dan dengar sendiri, betapa mereka membenci Daryna Haira.
"Betul ke mereka akan terima Daryna, Mak Leha?"
Mak Leha usap kekura tangannya.
"Jangan berhenti berdoa. Kalau Dyan nak mama dan papa, Dyan minta pada Allah. Dia yang pegang hati semua hamba-Nya."
Dia lepas keluhan.
Ya dia percaya itu. Hati kita dipegang Dia yang Maha Kuasa. Tiada sebarang kuasa yang mampu mengatasi-Nya.
Hati ini lemah. Sekelip mata mampu bertukar. Jadi dia hanya perlu mendoakan?
Semoga mama dan papa terbuka hati menerima anaknya Daryna Haira. Semoga hatinya juga terus kuat menunggu sehingga masa itu sampai nanti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...