Dua tahun kemudian.DARYNA Haira pusingkan tubuhnya berulang kali sambil tersengih suka.
"Cantik tak ibu?" Dia tersenyum mendengar soalan si anak.
"Cantik sayang..." jawabnya meleret.
"Nanti jangan nakal-nakal tau. Dengar cakap ayah." Daryna Haira angguk bersungguh.
"Dengar cakap nenek juga..." Saat yang sama pintu bilik dibuka dari luar. Serentak mereka berpaling.
"Dah siap?" Mak Leha menjengahkan kepala.
Dia mengangguk. Kemudian pandangannya dialihkan semula kepada si anak yang masih teruja dengan pakaian barunya.
Anaknya yang comel itu ditatap penuh kasih. Seumur hidup, mereka tidak pernah berjauhan. Entah kuatkah dia menahan rindu nanti?
"Faid dah tunggu..." Dia bingkas bangun saat mendengar kata-kata Mak Leha itu. Dipimpin tangan anaknya dan dibawa ke ruang tamu. Tempat di mana Faid Harraz sedang menunggu.
Faid Harraz yang sedang menanti menoleh apabila menyedari kehadirannya bersama Daryna Haira.
Mereka saling bertukar senyuman.
"Kau betul tak nak ikut?" Sudah acap kali dia diajukan soalan itu, namun jawapannya masih sama.
Tidak!
"Mama ada temankan Dyan, Faid jangan risau," celah mama yang turut sama berada di ruang tamu.
Ya, dia sekarang sudah berpindah ke rumah keluarganya semula. Mama dan papa sudah kembali menjadi sebahagian dari hudupnya.
Syukur... akhirnya dia berjaya memiliki keluarga normal seperti sediakala. Seperti yang sepatutnya.
Bahagianya bertambah apabila mama dan papa menerima Daryna Haira seadanya. Anaknya itu sudah menjadi kesayangan di rumah mewah ini. Tak lupa, Mak Leha juga mendapat ruangnya yang tersendiri di sini.
Betapa besarnya nikmat yang dikurniakan kepadanya. Sekelip mata rasa bahagia itu menjadi miliknya.
Alhamdulillah...
Dia, terus mengambil tempat di sebelah mama. Daryna Haira pula dilepaskan untuk bermain. Tetapi anak kecil itu terus sahaja meluru dan duduk di atas ribaan Faid Harraz.
Manja!
"Mengada..." Dia menjeling anaknya yang tersengih-sengih.
"Ibu jeles la tu." Dia mencebik mendengar usikan Faid Harraz itu.
"Mama, kita kena cepat carikan jodoh si Dyan ni... baru la tak kuat cemburu." Dia menghantar jelingan kepada lelaki itu. Mama di sebelah sudah terburai ketawanya.
"Buat apa nak susah-susah cari. Faid kan ada..." Mati terus senyuman lelaki itu.
Dia sendiri juga mula merasa kekok. Kenapalah mama bangkitkan isu ini?
Mama tertawa kecil melihat tingkah kami berdua yang berubah serta-merta itu.
"Dyan tak nak Faid, mama. Kalau tak, Daryna dah dapat adik baru sekarang ni." Mama tertawa lagi.
Berkerut wajahnya mendengar kata-kata lelaki itu. Suka hati dia, je.
"Kau ni... sengaja kan?" Faid Harraz hanya mencebik mengejeknya.
"Memang betul apa aku kata, kan? Dah berapa kali aku ajak kau kahwin. Tapi kau bukan nak." Lelaki itu tarik muka. Acah-acah merajuk.
"Kau tahu, kan?" Dia hela panjang nafasnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...