DYAN Uqasha termenung. Kedua belah tangannya dijadikan alas dagu yang diletakkan rapat ke atas meja makan. Keluhan kecil terlepas keluar.
Wajahnya sayu mengenang segala yang sedang berlaku. Entahlah, dia sendiri bercelaru.
Wajah papa dan mama silih berganti terbayang di matanya. Adakalanya, dia jadi terfikir. Apa agaknya yang ada dalam fikiran mama dan papa?
Adakah dirinya dianggap sebahagian daripada mereka? Adakah dirinya ini penting untuk mereka?
Satu waktu dulu, dia sering merasa bahawa dialah anak yang paling beruntung dalam dunia ini. Dia, sering dilambakkan dengan kemewahan. Katakan sahaja kemahuannya, pasti akan ditunaikan dalam sekelip mata.
Tapi di sebalik semua itu, dia sebenarnya kekurangan kasih sayang. Mama dan papa sering meninggalkannya sendiri di rumah. Hidupnya, seringkali hanya bersendiri.
Tapi, waktu itu dia sedikit pun tidak kisah dengan semua itu. Malah, dia sudah lali dan lebih merasa selesa. Setiap apa yang ingin dia lakukan, tiada siapa yang akan menghalang.
Malah, dari hari ke hari dia mula bertindak semakin bebas. Apatah lagi apabila dia baru tamat pengajian. Langkah yang diatur semakin panjang.
Bahagianya dia rasakan saat itu, sehingga ada rakan sekuliah yang mula iri dengannya. Anak orang kaya yang hidup mewah dan mampu berbuat apa sahaja.
Dia pula, benar-benar memanfaatkan kebebasan dan kemewahan yang dia miliki. Sehingga dia terlupa, yang langit itu bukan selalu bewarna biru.
Tapi sekarang?
Saat dia sudah melalui rasanya kepedihan melalui getir hidup... dia jadi terfikir, apakah semua itu bentuk kasih sayang yang memang papa dan mama pilih untuk dicurahkan kepadanya?
"Kenapa Dyan?" Terangkat terus mukanya yang sedari tadi dibiarkan melentok di atas meja makan itu.
"Mak Leha ni... nasib Dyan tak sakit jantung tau!" Mak Leha terkekek ketawa.
"Dah tu, yang kamu tu macam orang putus cinta je Mak Leha tengok, kenapa ni?" Dia mula tarik muncungnya. Nafas dilepaskan perlahan.
"Macam-macam ada dalam otak ni Mak Leha," keluhnya.
Mak Leha menggeleng perlahan dan mencapai dua buah mug di atas rak. Pantas Mak Leha melakukan kerja, sekelip mata dua buah mug tersebut sudah siap berisi air milo panas.
Air tersebut dihulurkan terus ke hadapannya sebelum Mak Leha menarik kerusi yang bertentangan dengannya dan duduk.
"Apa lagi yang Dyan fikir?" Dia sekadar angkat bahunya. Mulutnya mencebik.
Entah bagaimana dia mahu menamakan apa perasaan yang sedang melanda dirinya sekarang ini. Celaru!
"Tarik sangat la muka tu. Cepat tua nanti tahu la," seloroh Mak Leha. Tapi tidak berjaya membuat dia tersenyum.
Mak Leha yang menyedari itu, sudah mengerti. Dyan Uqasha jika tidak mampu untuk tersenyum, dia pasti sedang serabut memikirkan sesuatu. Jika tidak, lawak paling bodoh yang dibuat pun sudah boleh meledakkan tawanya.
"Mama kata apa lagi?" Dyan naikkan muka memandang Mak Leha.
Mak Leha angkat keningnya isyarat supaya dia teruskan bercerita.
"Bukan apa Mak Leha... Dyan serabut sikit. Dyan tak boleh nak keluarkan masalah ni dari fikiran Dyan." Dia cengkam kuat kepalanya. Ikutkan hati mahu sahaja dia tarik kuat-kuat rambutnya. Kalau tercabut pun tak apa. Asalkan dia dapat keluarkan masalah ini dari otaknya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...
