MAK Leha kelihatan lemah terduduk di atas sofa. Matanya basah kuyup. Wajahnya murung. Wanita itu kelihatan sangat tidak bertenaga sehinggakan saat dia sampai pun Mak Leha hanya mendepakan tangan mengharap dia yang datang kepada wanita itu.
Laju dia meluru mendapatkan Mak Leha. Mak Leha tidak menunggu sesaat pun lagi untuk melepaskan segala raungan di dalam dakapannya.
"Macam mana Mak Leha? Macam mana boleh jadi macam ni?" Cemas nada dia bertanya.
Dia resah.
Sangat gelisah.
Terlalu banyak persoalan yang sedang berlegar dalam fikirannya. Tapi, dia masih waras untuk menumpahkan segala persoalan itu kepada Mak Leha yang jelas turut berdukacita itu.
"Mak Leha tak tahu Dyan... Tak tahu, semua jadi tiba-tiba." Raungan Mak Leha langsung tidak terkawal.
Jelas dia dapat merasakan tubuh tua itu menggeletar dalam pelukannya. Mungkin Mak Leha trauma.
Dia renggangkan tubuh mereka. Diteliti ke seluruh tubuh Mak Leha. Membesar matanya saat melihat luka kecil di tangan dan kaki Mak Leha.
Dipejamkan matanya rapat-rapat.
Dia sedar, pasti Mak Leha juga bergelut semasa Daryna Haira anak kesayangannya itu dibawa lari tadi.
Allahu, anak ibu. Macam mana keadaan anak ibu sekarang ni?
Allah, dugaan apakah ini?
Sedang dia sendiri buntu untuk menunjukkan reaksi, terdengar salam diberi di muka pintu.
Laju dia menoleh. Terlihat Faid Harraz terkocoh-kocoh masuk ke dalam rumah.
Lelaki itu juga kelihatan masih terkejut dengan berita yang diterima ini.
Seperti mana kusut yang dia rasa dalam hatinya tika ini, begitulah juga kusut yang terpampang jelas di raut wajah Faid Harraz sekarang ini.
Lelaki itu pandang Mak Leha penuh simpati. Dia tahu, tentu banyak persoalan yang ingin dia luahkan, tetapi seperti dirinya... pasti lelaki itu juga tidak tega meletakkan beban di bahu Mak Leha.
"Mak Leha cam tak siapa yang culik Daryna?" Berhati-hati Faid Harraz menyoal.
Dia sudah duduk berlutut di depan Mak Leha.
Mak Leha geleng laju kepalanya.
"Tak Faid. Mak Leha tak cam apa pun. Mak Leha nak tarik Daryna je tadi. Tapi tak dapat." Mak Leha meraung lagi.
Dia yang berada di sebelah Mak Leha menyapu lembut bahu wanita itu.
Faid Harraz telan air liurnya. Pandangan lelaki itu beralih memandangnya.
Dia kerutkan dahinya. Bibirnya diketap kuat mahu menahan tangisan yang sudah memenuhi dalam dada.
Terlepas keluhan berat Faid Harraz.
"Dyan, kita nak buat apa ni?" Soalan lelaki itu benar-benar tidak mampu untuk dia jawab.
Dia sendiri buntu.
Dia masih berharap semua ini hanya sekadar gurauan.
Dia tertunduk. Menahan pilu yang sedang bergayutan di tangkai hatinya. Dia benar-benar terseksa kini.
Dia risau.
Terlalu risaukan akan keselamatan anaknya itu.
Tiba-tiba sekali lagi laungan salam dia dengar di muka pintu.
Membesar matanya saat suara itu menampar gegendang telinganya.
Daim Luqman?
Laju dia membuang pandangan ke arah pintu masuk. Benar, susuk lelaki itu jelas terlihat melangkah masuk ke dalam rumah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...