"IBU..." Laju Daryna Haira mahu mendapatkan Dyan Uqasha apabila dia sudah dapat mendengar enjin kereta ibunya itu.
Mak Leha menggeleng kepala melihat akan keletah si kecil itu.
Daryna Haira setia menanti pintu dibuka dari luar. Dia tahu, bila-bila masa sahaja ibunya akan masuk dari pintu itu.
"Daryna, sini pakai baju dulu." Mak Leha cuba memanggil, mengalih fokus Daryna Haira dari pintu tersebut.
Dia yang baru sahaja dimandikan oleh Mak Leha, berkeras tidak mahu memakai baju. Dia mahu mendapatkan ibunya dahulu.
Sudahnya, tuala yang membaluti tubuhnya pun sudah melayang semasa sibuk melarikan diri tadi.
"Nak ibu dulu..." katanya sambil membuat muka kasihan.
"Ibu tu penat, sayang... baru je sampai. Sini la, wangi-wangi dulu, baru best ibu nak cium." Membesar terus matanya seolah sudah termakan umpan.
Tapi, baru dia mahu mengorak langkah, pintu utama telah terbuka.
"Ibu!" jerit Daryna Haira lantang. Seolah sudah bertahun tidak bertemu dengan ibunya itu.
Dia terus sahaja berlari dan memeluk erat kaki ibunya.
"Ya ampun... mana baju ni? Tak malu ke awak tak pakai baju macam ni?" Dyan Uqasha terus menunduk bagi menyamakan ketinggiannya dengan si anak manjanya itu.
"Nak ibu pakaikan..." jawab Daryna Haira sambil memeluk batang leher Dyan Uqasha.
"Mengadanya dia..." Dyan Uqasha mencubit hidung si kecil itu.
"Cium kat sini dulu kalau nak ibu pakaikan baju." Dyan Uqasha letakkan jari telunjuknya di pipi kanan.
Tanpa menunggu lagi, Daryna Haira terus sahaja mengikut arahan. Tapi, ciumannya bukan hanya berakhir di pipi kanan ibunya sahaja, tetapi habis di keseluruhan muka.
Terkekek ketawa dua beranak itu apabila Dyan Uqasha juga turut berlawan mahu mencium keseluruhan wajah Daryna Haira.
"Daryna, cepat sini pakai baju dulu." Mak Leha yang sedari tadi duduk di depan televisyen mula memanggil Daryna Haira yang masih tidak berpakaian.
"Kesian ibu penat tu... bagi ibu rehat dulu." Semakin erat pelukan Daryna Haira di batang leher ibunya.
"Nak ibu..." rengeknya manja.
"Ye, ibu pakaikan. Jom, cepat. Tak malu dah besar bogel-bogel macam ni." Terus dia bersorak riang.
Laju Daryna Haira berlari mendapatkan Mak Leha. Tangan terus ditadah, meminta baju yang sudah lama berada di tangan Mak Leha.
"Tak nak kawan Daryna la macam ni..." Mak Leha acah-acah merajuk. Muka sengaja dipalingkan ke arah bertentangan.
Berubah terus riak Daryna Haira. Dia pandang ke arah ibunya dengan muka sendu.
"Ayok, tak tahu... nenek dah merajuk. Daryna buat..." Muncung Daryna Haira makin panjang.
"Nek..." Daryna tarik tangan Mak Leha, mahu Mak Leha memandangnya. Namun, Mak Leha sengaja mahu mendera perasaan si kecil itu, dia sengaja keraskan tubuhnya saat ditarik Daryna Haira. Namun, sembunyi-sembunyi Mak Leha mengulum senyum.
Melihatkan Mak Leha begitu, Daryna Haira terus duduk di riba Mak Leha dan memeluk Mak Leha. Wajahnya ditekap di dada Mak Leha.
Mak Leha sudah mahu melepaskan tawa, namun sedaya upaya ditahan. Dia pandang ke arah Dyan Uqasha yang sedang menahan ketawa juga.
"Nek, Daryna sayang nenek. Tapi, nak ibu pakaikan baju, je. Ibu selalu balik lambat. Kesian nenek kena bagi Daryna pakai baju hari-hari." Pecah terus ketawa mereka tika itu. Lagi-lagi mendengar suara Daryna Haira yang serupa orang mahu menangis itu.
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...