"MAMA ajak you datang dinner, okey ke?" Teragak-agak Dyan Uqasha menyampaikan pesanan mamanya itu.
"Bila?" soal Daim Luqman sepatah.
"Malam esok," jawab Dyan Uqasha sambil matanya melirik ke arah Daim Luqman.
"Okey... Nanti I jemput you sekali. Daryna ikut tak?" Dyan Uqasha diam tidak menjawab.
Jujurnya, dia tidak pernah terfikir walau untuk sekalipun juga untuk membawa anaknya itu menjejakkan kaki ke dalam rumah orang tuanya. Dia tahu, mama dan papa masih tidak menerima anaknya itu dalam hidup mereka.
Jadi, dia mahu mengelakkan Daryna Haira dari melihat hanya rasa benci yang akan terbit dalam mata nenek dan datuknya sendiri. Sungguh, dia tak sanggup.
"Ingat nak tinggalkan dengan Mak Leha," Daim Luqman angkat keningnya.
"Bawalah Daryna sekali. Mesti dia pun nak jumpa atuk ngan nenek dia, kan?" Berubah riak Dyan Uqasha.
Kalau sahaja Daim Luqman tahu, Daryna Haira bukanlah seorang kanak-kanak yang lahir seperti bayi-bayi yang lain. Yang mana, kelahiran mereka dirancang dan dinantikan.
Yang punya ibu dan ayah yang teruja dan saling menghitung masa untuk melihat wajah anak mereka buat pertama kali.
Tidak!
Daryna Haira tidak sebertuah itu. Malah, hak sebagai cucu juga dia tidak pernah miliki. Jadi, Dyan Uqasha memang tidak pernah punya perancangan untuk membawa Daryna Haira bertemu dengan kedua orang tuanya.
Sekurang-kurangnya sehingga ke saat ini.
"Daryna tak biasa dengan parents I." Dyan Uqasha memberi alasan.
"Macam tu pulak. Kalau macam tu, kita biasakan dia. So, esok kita pergi sekali dengan Daryna." Dyan Uqasha baru sahaja mahu membuka mulut untuk membantah sebelum Daim Luqman mematikan niatnya.
"I tak terima sebarang alasan. Kita bertiga akan pergi sama-sama," tegas Daim Luqman dalam senyuman mesranya.
Dyan Uqasha mulai resah.
Agaknya, bagaimana penerimaan kedua orang tuanya nanti? Mereka bukannya suka dengan Daryna Haira malah mereka pernah merancang untuk memisahkan dia daripada anak kesayangannya itu.
Ah, macam mana ni?
***
DYAN Uqasha terus dibayangi resah. Perjalanan ke rumah orang tuanya itu menyelitkan pelbagai perasaan dalam hatinya.
Matanya asyik tumpah ke Daryna Haira yang kemas dalam ribaannya. Pertama kali Daryna Haira dan Daim Luqman bersua muka dan bertentang mata, Daryna Haira kelihatan masih lagi kekok dan malu-malu.
Nafas ditarik dalam. Daryna Haira dan Daim Luqman, nampaknya bukan sesuatu yang sukar untuk dirinya. Tapi, sebentar lagi...
Peluh dingin mula dirasakan mengalir di dahinya.
Daryna Haira di atas ribaan terus didakap kemas dan ubun-ubunnya dicium penuh kasih.
Besar harapannya untuk melihat sekurang-kurangnya mama dan papa melayan Daryna Haira seperti kanak-kanak lain. Sekalipun, mereka masih enggan mengiktiraf Daryna Haira sebagai cucu.
"Cemas macam I nak bawa you jumpa bakal mertua." Daim Luqman tertawa mengusik.
Terkejut Dyan Uqasha yang sememangnya sudah lama hanyut dalam dunianya sedari tadi.
"Patutnya I yang cemas, sayang. Ini terbalik pulak!" Dyan Uqasha hanya sungging senyuman. Kemudian kembali semula seperti tadi.
Daim Luqman hanya sekadar memerhati sahaja gelagat Dyan Uqasha kali ini.
ANDA SEDANG MEMBACA
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...
