LELAKI yang merampas kasar beg bimbit berisi wang berjumlah tiga puluh ribu itu dari tangannya pantas bergerak kembali mendekati ketuanya.
Dia, paksa hatinya untuk terus bersabar untuk sedikit waktu sahaja lagi. Dia mahukan Daryna Haira dalam keadaan selamat. Jadi, dia sedar, dia perlu mengikut rentak mereka ini.
Biar hatinya seolah tersagat apabila melihat keadaan anaknya yang jelas ketakutan dikelilingi oleh manusia-manusia yang tidak dikenali itu, tapi dia terus memilih untuk tidak bertindak terburu-buru.
Tangannya diramas gelisah. Segala tingkah penculik bertiga itu diamati dengan bersungguh. Dia tidak mahu terlepas sedetik pun pandangannya.
Beg bimbit yang berisi wang itu diletakkan pula ke atas sebuah meja kecil di hadapan ketuanya.
Ketawa besar si ketua itu bergema ke sekitar bangunan tinggal ini. Nampaknya, si ketua itu berpuas hati dengan hasil di depan matanya itu.
"Aku suka berurusan dengan kau." Gigi ditayang. Wajah si ketua itu jelas menunjukkan riak berpuas hati.
"Anak aku?" Mata mereka semua serentak terarah kepada Daryna Haira apabila dia mengingatkan tentang itu.
Si ketua itu memberi isyarat kepada lelaki yang sedari tadi memegang erat Daryna Haira supaya melepaskan ikatan anaknya itu.
"Ibuuu..." Daryna Haira terus merengek sebaik ikatan di mulutnya dileraikan.
Dia kemam bibirnya. Lirih suara si anak, sangat menyayat hatinya.
"Sabar sayang, sekejap ye..." Dia cuba memujuk anaknya itu tambahan pula apabila dia melihat anaknya itu sudah meronta tidak sabar mahu segera mendapatkannya.
"Ye sayang, sabar. Uncle nak lepaskan sayang la ni..." Si ketua itu membelai rambut Daryna Haira sambil senyuman sinis diukirkan.
Dia terus menahan diri dengan terus bersabar. Sesungguhnya, dia sendiri merasa takut dengan mereka bertiga itu. Apatah lagi anaknya yang masih kecil itu.
Ikutkan hati, sekarang juga dia mahu berlari sekuat hati dan membawa Daryna Haira pergi bersamanya. Namun, dia sedar... semua itu pasti sia-sia.
Ini, bukan kawasan yang biasa untuknya. Dia tidak fasih dengan selok-belok tempat ini. Jadi, baik dia terus sahaja bersabar. Dia yakin, penculik ini pasti akan menunaikan janjinya.
"Sayang..." Si ketua itu duduk melutut di hadapan anaknya sambil memegang pipi si kecil itu.
Daryna Haira sudah mencibir bibirnya. Bahunya sudah terhinjut-hinjut. Dia yang menyaksikan semua itu turut dilanda resah.
Apa lagi mahunya si ketua penculik itu?
"Uncle minta maaf tau. Uncle janji tak buat lagi. Okey?" Dia kemam bibirnya.
Nafas ditarik dalam.
Mendengar kalimat si ketua penculik itu menambah lagi perasaan tidak menentu dalam dirinya.
Cepatlah lepaskan Daryna... Dia sudah dilanda gelisah di sini sehingga terasa bagaikan degupan jantungnya juga sudah mahu ikut terhenti.
Si ketua penculik itu tersenyum manis di hadapan Daryna Haira. Tetapi, anak kecilnya itu tetap juga tidak berhenti menangis.
Allahu Daryna Haira, permata hati ibu.
"Nak ibuuu..." Meleret suara anaknya itu merengek kepada si ketua itu.
"Okey. Pergi kat ibu sekarang." Daryna Haira yang mendengarkan arahan itu terus berpaling memandangnya.
Anaknya itu menyapu matanya dari sisa tangisan. Dari jauh, anak itu hanya memandang dirinya yang resah menanti sendirian.
YOU ARE READING
Demi Sebuah Rasa
ChickLitCover by :: @MrsSufi Sejarah lalu mengajar Dyan Uqasha erti hidup yang sebenar. Dari seorang anak yang sering ditaburi dengan kemewahan, dia hilang semuanya... hanya kerana satu tragedi. "Dyan pilih, kami atau budak tu." -Datuk Umar. Kewujudan Dar...