PEACH membelek dirinya di depan cermin, dikemas-kemaskan baju yang sudah tersarung di badan. Setelah dia berpuas hati dengan penampilan dirinya, Peach langsung mengambil beg slingnya lalu disangkutkan dibahu dan Peach terus berjalan menuju ke pintu utama, sudah bersiap sedia untuk keluar menuju ke tempat kerja. Sakit tak sakit, suka tak suka, dia harus kerja.
Pintu dibuka dan..
"Eh hi, kau nak pergi mana? Kerja ke?" Sapa Sage dengan senyum macam kerang busuk.
Terkejut Peach, dia fikirkan lelaki jahat manalah tadi yang menunggu dirinya keluar dari rumah. Kalau Peach sedang pegang payung sekarang ni, sudah dihempuk-hempuk kepala Sage ni.
Sudahlah Sage duduk mencangkung sambil bersandar di dinding hadapan rumahnya. Lepas itu, langsung bangun dan berdiri tegak dihadapannya. Haih, buat orang sakit jantung saja.
"Kau buat apa kat sini? Ada nak jumpa dengan siapa-siapa ke?" soal Peach tegas, kening sudah bertaut.
"Ada, nak jumpa kau."
Sage membuat muka comel dihadapan Peach. Sikit pun Peach tidak cair, siapa entah yang memberi mamat ni undangan ke rumah dia. Muka tembok betul.
"Tak payah mengarutlah, aku nak pergi kerja ni. Tepi." Peach melajukan langkahnya menuruni anak tangga satu demi satu.
"Tunggu dulu.." Sage berlari mengejar Peach, keluar segala skillnya sehingga dia melompat semua anak tangga yang ada, dia mahu sampai di bawah terlebih dahulu sebelum Peach.
Setiba di bawah Sage menuju ke arah motosikal yang di parkir di hadapan rumah flat Peach. Sempat pula dia posing dengan motor dia. Perangai tak semenggah betul mamat ni. Peach sudah tak terdaya mahu melayan. Makin di layan karang, jadi lambat pula dia sampai ke tempat kerja. Peach terus laju sahaja melangkah, tidak menghiraukan makhluk aneh dihadapannya ini.
"Eh Peach! Peach! Eee buat dek je perempuan ni."
"Jangan kacau aku lah, aku dah lambat nak pergi kerja ni," marah Peach. Langkah dilajukan, walaupun sedikit terhincut-hincut.
Sage menghidupkan enjin motornya lalu di kejarnya Peach sehingga dia dapat berjalan seiring bersebelahan dengan Peach.
"Kalau kau dah lambat, ini yang aku nak offer kau ni naik motor aku. Kau orang pertama tau aku bagi naik. Orang lain jangan haraplah."
"Aku tak berminatlah, baik kau pergi main jauh-jauh. Sebelum aku jerit kuat-kuat."
"Jeritlah, takde siapa nak layan. Jiran-jiran kau ni semua jenis yang tak masuk campur hal orang." Sage terus menerus mengusik Peach. Lagi Peach geram, lagi Sage suka. Baginya dia suka lihat wajah cebik perempuan itu. Geram! Rasa nak dicubit-cubit saja pipinya.
Sage masih mengawal pergerakan motornya. Tidak terlalu laju, tidak terlalu perlahan, cukup sekadar motornya bergerak bersebelahan dengan Peach. Peach pula masih sama, mengekalkan sifat jual mahalnya itu.
"Peach please, tak kasihan ke kau kat aku ni. Aku nak buat baik dengan orang pagi-pagi macam ni. Jomlah naik, aku ada bawak helmet lebih ni, lagipun kaki kau kan belum baik lagi tu, jalan pun dah macam penguin dah." Sage cuba memujuk dan diselitkan sedikit gurauan manja, dia tidak mahu berputus asa. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
"Kau tak faham ke atau kau buat-buat tak faham? Aku tak nak. Aku tak nak menyusahkan orang."
"Okay fine, kau tak nak kan."
Sage terus memulas pedal motornya dengan kuat, bunyi deruman motor terus bergema di kawasan perumahan Peach. Asap berkepul-kepul keluar dari ekzos motor. Sengaja Sage berbuat demikian. Hanya helah Sage untuk membuat Peach membonceng motor dengannya.
YOU ARE READING
DENDAM
Romance"Nombor itu tak akan bertambah dan akan sentiasa berkurang, tapi aku tak tahu macam mana cara mereka akan pergi." -Peach. Peach si gadis malang yang mempunyai kuasa aneh, iaitu boleh melihat jangka hayat manusia disekelilingnya. Tapi baginya ia buka...