BAB 9

67 10 3
                                    

9 TAHUN yang lalu

Tamat sahaja sesi pembelajaran di sekolah, Noah pelajar terakhir yang keluar dari kelas. Dia orangnya tidak sukakan keramaian. Noah paling tidak gemar kalau mahu pulang harus menuruni tangga bersama pelajar-pelajar lain yang saling tolak menolak.

Mahu turun tangga sahaja tetapi gaya seperti anak kecil tolak sana, tolak sini, terlompat sana, terlompat sini. Sudah seperti pelarian harus berhimpit-himpit di kawasan tangga, sudah beberapa kali Noah terjatuh dek ditolak orang belakang yang tidak punya adab. Sudahlah ditolak, tidak meminta maaf langsung.

Susah menjadi budak yang kurang pintar, harus bergaul sama budak-budak kelas hujung yang juga seperti dia, kurang cerdik. Hari-hari kerja mereka hanya membuat bising sahaja.

Argh serabut! Berbeza dengan pelajar kelas hadapan, pelajar-pelajarnya matang dan kelas mereka juga berada di blok lain. Setelah kawasan koridor semua sudah kosong, pelajar-pelajar lain juga sudah pulang. Barulah Noah mengemas barang-barangnya dan mengatur langkah untuk pulang.

Anak tangga dituruni satu per satu, sehingga ke tingkat bawah. Noah berjalan sambil kepalanya ditundukkan, perlahan sahaja langkahnya.

"Woi budak bodoh!"

Noah menoleh kebelakang setelah mendengar jeritan yang dia tidak tahu dari mana datangnya. Dia mengecilkan matanya mencari-cari siapakah gerangan orang itu.

"Sinilah!"

Mata Noah terus tertangkap pada seseorang yang melambainya di belakang tembok bangunan sekolah.

Siapa pula tu? Dia panggil aku ke? Monolog Noah, terus berpaling ke belakang dan terus menuju ke arah lelaki yang memanggilnya tadi.

Setibanya Noah dibelakang tembok, terdapat tiga orang pelajar yang gayanya saling tidak tumpah seperti gangster, dengan kolarnya dinaikkan, baju kemeja sekolah dikeluarkan, butang baju dibuka separuh hingga menampakkan bahagian dada.

"Kau sorang je ke? Jomlah join kita orang." Ren menyapa Noah. Macam ada udang disebalik batu mereka bertiga ni.

"Pinjam jap spec kau ni. Budak bodoh macam kau pun pakai spec? Kau malam-malam study ke? Hahaha." Terbahak-bahak Koa dan Ren mentertawakan cermin mata besar Noah.

Selamba sahaja Koa mengambil cermin mata yang dipakai Noah. Lalu dibelek-beleknya.

"Koa, bagilah balik. Nanti rosak.."

Tuck!

"Alamak, dah patah dah."

"Ops spec murah ni. Baru pegang dah patah. Benda murah memang tak bagus, elok buang je." sokong Ren. Lagak seperti bagus sahaja mereka berdua ni.

Ren terus mengambil cermin mata dari tangan Koa lalu membalingnya ke atas rumput. Noah tergamam. Tidak berkelip mata Noah melihat cermin matanya yang sudah patah dua.

"Ala nanti kau mintalah papa belikan yang baru, kau kan anak kesayangan papa dengan mama." Sage yang sejak tadi mendiamkan diri kini bersuara.

Setelah menikmati hisapan terakhir rokoknya, dia membuang putung rokok ke tepi longkang kecil dan terus menuju ke arah Noah. Dia meletakkan tangannya ke bahu Noah sambil matanya merenung tajam kearah adik angkatnya itu.

DENDAMWhere stories live. Discover now