BAB 10

106 13 1
                                    

HARI Jumaat yang mulia tetapi tidak terjadi pada Najihah. Pagi-pagi buta lagi, dia sudah tarik muka dengan Tok Wan hanya kerana Tok Wan menyuruh dia untuk minta maaf dengan Emma. Jatuh merudum emosinya.

Najihah bergolek-golek diatas katil yang keras itu. Dia tidak selesa dengan suhu sejuk yang mencengkam sampai ke tulang. Penghawa dingin di rumah pun tidak sejuk begini.

"Najihah, bangunlah. Anak dara manalah elok nak bangun subuh gajah macam ni." panggil Tok Wan.

Najihah mencebik sambil tangannya mencapai telefon diatas meja tidur untuk melihat waktu.

Tepat jam 9 pagi. Seperti lumrah hidupnya sebagai seorang remaja lagha, Najihah terlepas Subuh lagi.

Kalau dikira pakai jari, memang tidak cukup langsung untuk dia mengira jumlah solat yang tertinggal.

Tok Wan bukan tidak kejut Najihah untuk solat Subuh pagi tadi, tapi Najihah yang sengaja pekakkan telinga sehingga Tok Wan pun malas nak kejutkannya lagi.

Dalam keadaan yang malas, Najihah bangkit juga dan mencapai tuala di ampaian. Dia mengambil masa selama 10 minit untuk mandi sebelum keluar dan bersiap memakai baju lengkap bersama tudung sarung.

Kaki Najihah laju sahaja menuruni anak tangga yang bersambung dengan kawasan ruang tamu untuk ke dapur. Perut berkeroncong hebat meminta untuk diisi makanan, lalu Najihah turutkan sahaja.

Tok Wan yang sedang menjamah sarapan hanya mengeluh perlahan usai melihat kelibat cucu perempuannya itu.

"Selamat pagi, Tok Wan." sapa Najihah. Tangan laju sahaja mencapai karipap kentang yang sudah sejuk dalam pinggan. Sejuk pun sejuklah, janji kenyang.

"Selamat pagi. Sepanjang kamu tinggal di Kuala Lumpur tu, memang kamu kerap terlepas Subuh ke?" soal Tok Wan.

Uish, karipap kentang yang tidak habis dikunyah terasa laju turun kedalam kerongkong. Amboi, nak bagi Najihah insaf secepat mungkin ke?

"Erm, kadang-kadang Jihah terlepas juga sebab terlampau letih dengan kerja-kerja universiti. Sibuk sangat nak habiskan kerja dan kejar dateline, Jihah terus tertidur sampai ke tengahari." tanpa rasa bersalah, Najihah bercerita dengan penuh jujur.

"Kawan-kawan kamu tak tolong kejutkan ke?" soal Tok Wan.

Najihah tersenyum kelat. Sejujurnya, mereka bertiga sangat jahil. Pakai tudung tapi, solat buat main-main. Suka hati nak lompat sana, lompat sini. Kalau berjalan-jalan di mall pula, memang solat terbabas jauh. Entah apalah nak jadi.

"Mereka pun macam Jihah juga. Terlampau sibuk dengan kerja." kata Najihah.

Tok Wan menggeleng. "Sibuk dengan kerja dan tugasan universiti bukan tiket serta alasan untuk kamu suka-suka ambil 'cuti' dari menunaikan kewajipan agama, Jihah. Macam mana nak berjaya kalau tak rajin meminta bantuan dari-Nya? Rezeki pun perlahan-lahan akan ditarik balik tau."

Terasa dilempang laju-laju pula dengan pernyataan Tok Wan. Najihah terasa amat malu. Kalau boleh sorok muka dalam tudung, memang sudah lama Najihah buat.

Tapi, kata-kata Tok Wan memang ada betulnya. Itu sebablah Najihah mengalami kesulitan ketika dia ingin membentangkan semua idea pada Professor Sumayyah. Ketika dia berjaya membentang idea untuk kajian barunya, dia menghadapi perang dingin pula dengan bahan eksperimennya sendiri.

"Okey, Tok Wan. Insha-Allah, Jihah akan cuba-"

"Bukan 'akan cuba', tapi 'memang'. Kamu memang wajib ubah sikap tu kalau tak nak rasa kena hambat macam lembu korban." ugut Tok Wan.

Lembu? Lembu lagi?! Kenapa mesti haiwan bercorak hitam dan putih itu sentiasa dikaitkan dengan dirinya. Adakah muka Najihah yang cantik manis bak puteri-puteri Disney itu memang ada iras lembu? Jauh ya, jauh sangat!

Bukan Hero Romantik ✔Where stories live. Discover now