BAB 20

108 11 0
                                    

HAQEEM sudah bersedia dengan seluar trek yang dipadankan tshirt gambar Mickey Mouse berlengan panjang. Rambut pula diikat sanggul untuk memudahkan dia membantu keluarga Tok Wan menyiapkan segala peralatan. Disana nanti, mesti ramai yang memerlukan tenaga lelaki untuk mengangkat barang dan menggantung banner. Kalau dia pakai kain nanti, macam buang tabiatlah pula.

"Kamu dah siap ke, Qeem? Akak dah lama tunggu dekat luar ni." panggil Hana. Jenuh nak menunggu adik lelakinya yang seorang itu bersiap. Gaya dia bersiap mengalahkan perempuan yang nak kahwin. Lama bebenor.

"Siap dah." kata Haqeem. Dengan tote bag berwarna hitam. Seluar trek pula bukan main ketat lagi sampai nak terkeluar lemak-lemak dalam kaki itu. Wajah pula dimekap secara ringkas. Foundation, pengilat bibir dan maskara.

Hana tidak mampu berkata apa-apa melainkan berdoa dalam hati, semoga adiknya diberikan hidayah untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar. Kalau tidak fikirkan tentang imej keluarga, fikirkanlah pandangan Allah pada kita. Selagi boleh bertaubat, tolonglah bertaubat.

"Lama betul. Boleh berkematu punggung akak menunggu. Kamu bersiap atau sempat buat live Instagram?" sindir Hana.

"Ish, maaflah. Em tengah sibuk menghiaskan diri ni. Kalau nak pergi ke majlis orang, kenalah nampak cantik. Bukan selekeh saje. Risau nanti tetamu lari sebab kita." kata Haqeem, membela diri. Bukan main lentok lagi dia berbicara. Macam tiada lidah sahaja gayanya.

"Banyaklah kamu punya nak berhias. Tok Wan tu cuma nak buat persiapan untuk esok, bukan majlisnya malam ni. Lagipun, kamu betul ke nak pergi? Laju betul demam kamu tu kebah?" soal Hana, hairan. Pagi tadi, gaya Haqeem macam tidak larat sangat. Bila malam, sihat walafiat pula. Aneh.

Haqeem hanya membalas dengan senyuman manis. Berkat hadiah daripada Najihah pagi tadi, demamnya terus menghilang pergi. Tiba-tiba sahaja Haqeem ada semangat untuk memasak, mengemas rumah dan menyiram pokok bunga. Aduhai, inikah namanya jatuh cinta buat kali kedua?

Sebelum keluar, Hana sempat mendapatkan Puan Zainab yang bersenang-lenang dihadapan TV.

"Mak, mak tak nak pergi rumah Kak Mah? Dia baru saje bersalin hari tu, esok mereka nak buat majlis aqiqah. Jomlah tolong mereka, mak." pujuk Hana. Macam tidak baiklah pula kalau mereka tidak menolong orang yang dah selalu menolong mereka ketika susah. Lebih-lebih lagi, Haqeem.

"Kalau kamu nak pergi, pergi sajelah berdua. Wakilkan mak ni. Kalau mereka tanya, cakap sajelah mak sibuk nak siapkan bahan berniaga esok." dalih Puan Zainab.

"Tak baiklah menipu mereka, mak. Kalau mak tak nak duduk lama dan membantu pun, cukup tunjuk muka depan Encik Nazrin dan Puan Haliza. Itu pun dah memadai. Kita kena ucapkan terima kasih sebab mereka dah banyak tolong keluarga kita." ujar Hana.

"Hana, kamu ni memang susah nak tengok mak berehat sekejap kan? Kalau keluarga acah kaya tu ada pun, mak nak buat apa? Nak terima kasih untuk apa? Mereka bantu Emma saje, bukan mak." getus Puan Zainab.

"Tak kiralah, mak. Walaupun mereka tu cuma bantu Haqeem saje, kita tetap kena hargai. Kalau tak ada Encik Nazrin tu, memang tak belajarlah si Haqeem ni sampai ke universiti. Semuanya ditanggung tau. Tak perlu bayar pun, cukup mengenang budi. Itu saje. Takkanlah sebab mereka tak nak tolong mak, mak terus nak berdendam dengan mereka." Hana mengomel panjang.

Hana cukup geram dengan perangai Puan Zainab yang dirasakan sungguh pentingkan diri. Encik Nazrin dah dikira sebagai manusia paling baik dalam dunia ini sebab sudi membantu keluarga mereka disaat Haqeem diterima masuk ke sekolah berasrama penuh sehingga Haqeem tamat ijazah. Semuanya ditanggung.

Namun begitu, Puan Haliza iaitu isteri Encik Nazrin sentiasa menegah suaminya itu dari membantu keluarga mereka. Alasan Puan Haliza adalah kerana, Haqeem sudah bertukar identiti. Bagi Puan Haliza, Haqeem cukup tidak mengenang budi dan menconteng arang ke wajah mereka. Nanti apa pula orang berkata kalau suaminya membantu seorang mak nyah?

Bukan Hero Romantik ✔Where stories live. Discover now