BAB 4

130 14 0
                                    

KEPALA Najihah terasa berat untuk diangkat. Siling putih seakan-akan berpusing pada mata Najihah. Perlahan-lahan, dia bangkit dari baringnya.

"Doktor, tumpang tanya. Saya dekat hospital ke ni?" soal Najihah. Nasib baiklah ada doktor wanita yang berada dalam bilik itu juga. Doktor itu sibuk menulis sesuatu dalam buku. Mungkin buku laporan.

Doktor wanita itu ketawa kecil apabila mendengar soalan Najihah. Dramatik betul soalan dia tu.

"Tak adalah. Awak dekat klinik aje. Kawan awak hantarkan tadi." kata doktor wanita yang memakai tanda nama, Khadijah itu.

Kawan? Sejak bila pula aku datang pejabat papa dengan kawan? Rasanya Fatin dan Shahirah tidak tahu keadaan aku yang diragut ini.

"Dia dekat mana ya?" soal Najihah.

"Dia ada dekat luar. Tunggu kamu sedar agaknya." Doktor Khadijah berkata.

"Oh. Urm, macam mana dengan saya? Saya okey saje kan?" soal Najihah. Panik juga dia bila beg tangan diragut dan dirinya pula tiba-tiba sahaja terlantar atas katil klinik ini.

"Alhamdulillah, kamu okey saje. Kawan kamu kata, beg tangan kamu kena ragut. Mungkin sebab panik bercampur dengan gemuruh, buatkan kamu rebah tadi." kata Doktor Khadijah.

Najihah menganggukan kepalanya sebagai tanda yang dia memahami penerangan ringkas Doktor Khadijah. Kalau pengsan sebab panik, tidak payahlah sampai bawa ke klinik.

Ah, aku kena keluar. Mungkin Fatin dan Shahirah yang tunggu dekat luar agaknya.

Tentang beg itu pula. Biarlah. Mungkin ada hikmah beg tangan itu hilang. Tetapi, begnya mungkin dapat diselamatkan kalau si lembut itu tidak banyak songeh tadi!

Aduh, bengangnya dia!

Masa itu jugalah dia nak complain pasal hidung dia yang bengkak itu. Bukannya Najihah tumbuk sampai tercabut hidungnya. Setakat bengkak, apalah sangat.

Ceh, kau tak rasa memanglah kau boleh cakap begitu. Aduhai. Pening betul dengan hatinya yang berbolak-balik itu.

"Saya nak beritahu yang tangan kamu ada luka. Luka pada lengan dan tapak tangan. Luka pada lengan itu mungkin kerana kamu bergelut dengan peragut dan luka pada tapak tangan mungkin sebab kamu terjatuh masa pengsan." ujar Doktor Khadijah.

Najihah membelek bahagian luka yang dikatakan doktor itu. Habis bertampal pelekat dan iodin.

"Saya ada bagi krim sapu. Nanti, kamu ambil di kaunter." kata Doktor Khadijah lagi.

"Terima kasih, doktor." ucapan terima kasih diberi sebelum Najihah melangkah keluar dari bilik doktor itu.

Najihah menoleh kekiri dan kekanan mencari 'kawan' yang dikatakan Doktor Khadijah tadi.

Terpaku Najihah untuk seketika apabila dia melihat Emma sedang duduk dengan bergaya diruang menunggu. Terlentok-lentok kepalanya menahan kantuk.

Baju pula bukan main rambu-ramba, warna pun meriah semacam. Kasut tumit tingginya mengalahkan menara KLCC di Kuala Lumput. Mekap pula? Berkilo-kilo ditepek pada muka itu.

Mak nyah jenis apa ini? Atau mak nyah memang macam ni?

"Awak." Najihah memanggil.

Bahu kurus itu ditepuk berkali-kali untuk mengejutkan Emma. Kalau dia pegang tangan nanti, mahu kena lempang pula dengan lelaki ini. Walaupun sudah berubah penampilan, istilah tenaga lelaki itu memang tidak akan hilang. Tidak fasal-fasal, berbirat pipi Najihah nanti.

Terpisat-pisat Emma membuka mata. Jelaslah kelibat seorang gadis sedang berdiri dihadapannya.

"Kau rupanya. Kau ni apahal eh? Kau pengsan atau membuta? Banyak pula masa aku nak kena tunggu kau dekat sini." getus Emma.

Bukan Hero Romantik ✔Where stories live. Discover now