BAB 55

77 7 0
                                    

SEJUMLAH wang dikumpulkan dan dihulurkan kepada Puan Zainab. Berpeluh-peluh ketiaknya hendak beratur bagi menunggu giliran untuk mengeluarkan duit ketika di pekan tengah hari tadi. Kalau tidak kerana ingin memberikan duit belanja kepada maknya, memang jangan haraplah Haqeem hendak keluar.

"Nah, mak. Duit hasil bulan lepas. Bolehlah kita pakai untuk beli bahan-bahan masak kan?" ujar Haqeem. Dia melabuhkan punggung disebelah maknya yang sedang menonton televisyen itu.

Puan Zainab mengangguk acuh tidak acuh, seperti tidak nampak akan kelibat duit-duit itu. Hairan Haqeem dibuatnya. Pada kebiasaannya, Puan Zainab pasti akan teruja apabila melihat jumlah duit itu. Mulalah dia merencana hendak membeli barang-barang baru bagi menyambut Aidilfitri.

Ajaibnya kali ini, Puan Zainab seperti tidak nampak duit-duit tersebut.

"Kamu letak sajelah dekat situ. Nanti mak ambil." balas Puan Zainab. Begitu ralit dia melayan kerenah artis yang riuh melayan artis jemputan untuk rancangan memasak itu. Agak bingit telinga Haqeem, namun Puan Zainab mampu menontonnya tanpa sebarang masalah.

Haqeem berkerut kening dan menggumam sendiri, 'Ni pelik sangat ni. Nak kata ni bukan mak, macam berdosa pula. Tapi, lain sangat perangainya. Yalah, syaitan mana ada di bulan berkat macam ni. Memang patut pun mak aku ni tenang semacam, tak ada naik hantu macam selalu. Marahkan Najihah pun tak pernah nampaknya.'

Memang itulah perubahan paling ketara yang dapat Haqeem lihat dalam diri Puan Zainab. Dahulu, ketika Najihah datang untuk bertemu dengan Haqeem, bermati-matian dia menghalang Najihah mendekati Haqeem. Kononnya hendak mengelakkan Haqeem terpengaruh dengan aura tidak baik dari Najihah. 

Malah, apabila Hana menyebut nama Najihah dihadapan Puan Zainab, pasti maknya mudah naik hantu. Kalau boleh telinganya langsung diharamkan dari mendengar nama Najihah. Kalau tidak, habis tunggang-terbalik kedai dan rumah.

Begitu liatnya hati Puan Zainab hendak menerima Najihah. Namun, sejak sebulan yang lalu, tiada lagi Puan Zainab yang suka naik hantu tanpa sebab. Tiada lagi Puan Zainab yang mudah berang apabila melihat wajah polos Najihah. Segala-galanya berubah tanpa Haqeem tahu sebabnya.

Jika Haqeem tahu mengapa maknya mampu berubah sebegitu drastik, sudah tentu Najihah akan dibenci sekali lagi. Cuma, entah berapa lama Haqeem dapat memaafkan Najihah. Hakikat yang Najihah menggunakan Puan Zainab dengan memberinya wang pampasang berjumlah RM500 setiap minggu tanpa terlupa sudah tentu menyakitkan hati Haqeem.

"Oh, bukan ke budak Jihah tu dah bagi lima-" Puan Zainab berhenti berkata-kata. Dia memandang wajah anaknya dengan muka yang terpinga-pinga. Hampir sahaja dia terlepas cakap kerana ralit menonton TV.

"Lima?" soal Haqeem, keliru.

"Limau. Budak Jihah tu dah bagi limau dekat mak minggu lepas." Puan Zainab merangka alasan yang tidak logik untuk menarik perhatian Haqeem dari terus bertanya.

"Apa kaitan limau dengan duit hasil berniaga ni?" soal Haqeem. Dia mula menghidu perkara yang tidak enak dan dia sesungguhnya kurang yakin melihat ekspresi penuh curiga mak sendiri. Nak curiga pun, Puan Zainab adalah ibu kandungnya. Macam biadap kalau ragu-ragu.

"Mak sakit perut hari tu, dia ada bagi limau. Itu saje. Dahlah, kamu pergilah buat kerja lain. Mak nak tengok TV pun kemain susah lagi." halau Puan Zainab. Dia merebahkan badan ke sofa dan mata kekal tertancap pada TV. Sesungguhnya dia berharap agar Haqeem dapat mengalah bila melihat dirinya yang tidak ingin diganggu itu.

"Oh ya, memandangkan hari raya pun dah makin dekat, mak rasa kita tak payahlah berniaga dah. Lepas raya, baru kita sambung berniaga semula. Biasanya, dah nak dekat penghujung bulan Ramadan ni, dah tak ramai yang ke bazar pun. Bolehlah kamu dan Hana berehat saje." pesan Puan Zainab. 

Bukan Hero Romantik ✔Where stories live. Discover now