PUAN Haliza panas punggung apabila melihat gambar yang tersebar dilaman media sosial itu. Begitu meriah sekali aplikasi Whatsapp miliknya dengan soalan-soalan panas seperti dalam segmen Melodi. Panas. Meletup. Paling penting adalah gosip panas yang meliar itu mampu membangkitkan kemarahan Puan Haliza dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Bertuah punya anak dara.
Sebab itulah Najihah beria-ria mahu pulang ke kampung dalam masa terdekat.
Patutlah Najihah menolak dari dijodohkan dengan Haziq anak Puan Kamariah yang sungguh baik budi pekertinya dan stabil dari segi kewangan.
Rupa-rupanya, dia sudah gatal hendak bersama dengan lelaki lembut itu! Paling membakar jiwa Puan Haliza apabila ada kawan-kawannya yang ringan mulut bertanya tentang kebenaran gambar penuh aura cinta itu.
Rupanya anak you berkenan dengan Mak Nyah ya? Sungguh I tak sangka.
You kata dia pergi jalankan kajian, tak mungkin ini kajiannya?
Ini anak you, kan? Walaupun I dah lama tak jumpa dia, tapi I yakin yang mata I tak pernah salah. OMG, I tak sangka anak you suka pada lelaki lembut dan tinggal di kampung, Liza!
Ya, gambar yang tersebar dalam bentuk 1080p itu jelas menunjukkan bagaimana Najihah dan Haqeem sedang berjalan berdua-duaan dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Senyuman yang terukir menunjukkan lagi kebahagiaan dan mengiyakan caption pada gambar.
Patutlah diam-diam tutup akaun, rupanya MUA yang pernah terkenal dulu kini sedang menjalin hubungan bahagia dengan seorang wanita yang tidak diketahui identitinya.
Menjalin hubungan bahagia? Patutlah Najihah beria menolak Haziq, rupanya dia sedang menggatal dan merenyam dengan budak lelaki lembut itu di kampung. Apa yang ayah buat di kampung? Tidak mungkin dia membiarkan sahaja cucu perempuannya keluar bebas tanpa orang ketiga?
Berasap hatinya! Dia perlu pulang ke kampung pada hari ini juga! Segala persiapan Aidilfitri yang akan disambung minggu hadapan menjadi kucar-kacir. Segala aib yang telah terbongkar dek kerana kesilapan Najihah perlu dihapuskan secepat mungkin!
▪️▪️▪️
"Macam mana ni? Gambar kau dah tersebar bebas di sosial media! Aku rasa kalau kau nak telefon pihak media untuk take down berita tu pun dah tak sempat." kata Fatin. Jujur, dia terkejut apabila melihat wajah Najihah yang langsung tidak diblurkan dalam setiap artikel. Sungguh, kasihan Najihah dibuatnya.
Najihah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sedari tadi, telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi dan bergilir-gilir menerima panggilan. Jika tidak dari kawan-kawannya, pasti Puan Haliza turut sama mencemar duli dalam memarahi dia atas apa yang terjadi.
"Tapi aku tak buat salah apa pun, Fatin. Kalau kau nak tahu, aku bukan keluar berdua saje dengan Haqeem. Aku langsung tak pegang tangan dia dalam gambar tu. Mustahil mereka nak mencari salah yang jelas tak ada salah dalam tu." balas Najihah, sedaya upaya untuk melindungi dirinya.
Fatin menggaru pipinya, "Masalahnya sekarang ni, dia bukan sebab kau tak pegang tangan dia atau apa, Jihah. Sekarang ni, kau kira macam dah langgar polisi bekerja tau. Walaupun kita dalam tempoh belajar Masters, kau masih seorang pakar psikologi. Pakar, Jihah, pakar!"
Najihah yang berjalan mundar-mandir dalam bilik sambil kepala menerawang jauh memikirkan nasibnya dan Haqeem ketika ini terus sahaja terhenti langkahnya. Dia berkerut kening mendengar hujah Fatin itu.
"Apa maksud kau ni? Habis tu, kalau aku seorang pakar sekali pun, aku tak boleh nak jatuh cinta ke? Apa salahnya aku sebagai doktor psikologi Haqeem, nak jaga dia sampai bila-bila pun?" getus Najihah.
YOU ARE READING
Bukan Hero Romantik ✔
أدب الهواةBukan Hero Romantik mengisahkan tentang seorang jejaka bernama Emma atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem yang mempunyai sifat seperti wanita. Rambutnya dipanjangkan. Gaya pemakaiannya mirip seperti wanita. Kerana dirinya yang tidak sempurna seperti...