BAB 17

80 10 4
                                    

SETIAP malam, memang menjadi rutin harian untuk Hana dan Haqeem ke surau bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya' secara berjemaah. Ketika hayat ayah, ayah sentiasa membawa mereka berjemaah bersama-sama. Tidak pernah walau sekalipun tertinggal. Jadi, mereka adik-beradik sentiasa cuba untuk kekalkan rutin yang sama.

Cuma, Puan Zainab agak liat untuk diajak bersolat jemaah. Dia lebih selesa solat sendirian dalam rumah. Alasannya ialah, kekangan kakinya yang sering lenguh dan sakit ketika hendak rukuk. Mereka ikutkan sahajalah.

"Sampai bila kamu nak bergaduh dengan Najihah?" soal Hana secara tiba-tiba. Hana cuba untuk memecahkan tembok kesunyian ketika mereka dalam perjalanan ke surau. Seram juga bila berjalan dalam gelap, dikelilingi hutan dan cuma berbekalkan lampu suluh sahaja.

"Sampai bila-bila." ringkas sahaja jawapan Haqeem.

"Kamu bukan marah Najihah sebab dia tak minta maaf atau bersikap sarkastik, betul tak? Kamu marah sebab dia tinggalkan kamu dulu, betul tak? Dia putuskan tali persahabatan begitu sahaja dan pergi tanpa khabar berita. Itu yang kamu sakit hati sebenarnya, kan?" tebak Hana.

Haqeem terpempan dengan tebakan Hana yang benar belaka. Nur Najihah itu adalah satu-satunya kawan perempuan yang dia rapat ketika zaman kanak-kanak. Sentiasa ada dengan Haqeem kala sunyi dan susah. Namun, ketika ayahnya pergi, Najihah tiada disitu. Retak hatinya.

Dia lemah tanpa Najihah disisi. Ibarat layang-layang terputus talinya, itulah yang terjadi pada Haqeem. Najihah yang menjadikan dia kuat serta memberikan alasan untuk dia menjadi pelindung seseorang. Tatkala Najihah bersama keluarganya berpindah ke luar negara, Haqeem seakan-akan hilang sebelah sayap.

Pada akhirnya, meninggalkan Haqeem bersendirian. Haqeem tiada kawan untuk bertahun lamanya. Antara sebab lain yang membuatkan dia tiada kawan langsung adalah kerana sikap lembutnya. Dia mungkin diminati ramai. Tapi, itu kerana rupa. Budak perempuan minat pada rupanya. Ketika terbongkar dia adalah seorang yang lembut, semua perempuan bertempiaran lari dan menggelar Haqeem sebagai gayboy.

Terluka? Sudah tentu.

Perginya Nur Najihah, runtuh semangat Muhammad Haqeem.

Sehinggalah dia memasuki sekolah berasrama penuh dan bertemu dengan Aisyah. Gadis itulah yang menjadi sahabat dan pengganti Najihah dalam hidup Haqeem. Aisyah memberi semangat baru buat Haqeem. Berkenalan dengan lebih rapat, berkongsi minat yang sama. Mendorong Haqeem kearah jalan yang sesat. Dorongan Aisyah, buatkan Haqeem tekad mengubah penampilan.

Konon yakin dan percaya pada diri sendiri, alih-alih disuruhnya ikut hati. Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta.

Kini, Aisyah bekerja diluar negeri. Entah negeri mana, tidak pula Haqeem tahu. Meskipun, Aisyah pergi bekerja di tempat lain, gadis itu tidak pernah memutuskan persahabatan mereka. Rajin Aisyah mengambil tahu tentang Haqeem hampir setiap masa. Tidak pernah terlupa.

Tidak seperti Najihah. Itulah yang membezakan mereka berdua.

"Tak kisahlah apa alasan Em sekali pun, Em tetap tak suka dia. Dia yang buat Em jadi macam ni. Semua salah dia." ujar Haqeem. Suaranya begitu mendatar.

"Kamu yang buat keputusan, Jihah yang kena?" soal Hana, jengkel.

Haqeem memutarkan matanya untuk menunjukkan yang dia tidak ingin mengambil tahu soalan Hana itu. Jawapannya tetap sama. Semua itu sememangnya salah Najihah, tidak dinafikan lagi.

"Memang patut pun kamu terpisah dengan dia. Sepatutnya, bila Najihah pergi, kamu kena terus kuat dan bina semangat untuk jadi lebih baik. Percaya pada jarak masa untuk memperbaiki diri. Tunjukkan pada Najihah yang kamu boleh hidup tanpa dia. Ini tidak, ke lain pula perginya." getus Hana.

Bukan Hero Romantik ✔Where stories live. Discover now