Bab 64: Geng Tepi Kain (3)

26 5 0
                                    

SUASANA dalam rumah itu riuh-rendah dengan suara orang ramai. Majlis akan bermula 15 minit dari sekarang, lagilah mereka kalut. Jurufoto sudahpun bersedia untuk mengambil gambar pengantin semasa akad nikah. Penganti lelaki baru sahaja sampai, tetapi pengantin perempuan masih belum keluar dari bilik pengantin.

Tidak lama selepas itu, Ayumi yang berbaju pengantin keluar bersama-sama Mina dan Ayuri sebagai pengapit bidan terjunnya. Sudah sampai masanya pengantin perempuan keluar, oleh sebab itulah mereka keluar. Ayumi cantik berseri di dalam busana pengantin tersebut, dia juga memakai hijab dan bertutup litup dengan sempurna.

Khai melihat Ayumi dari tempat duduknya yakni di tempat saudara mara para pengantin perempuan sedang berkumpul. Dia tersenyum. Alangkah bagusnya pengantin lelaki itu adalah dia. Namun, andai itu takdirnya, maka dia perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Suasana menjadi semakin bingit dan bising kerana mereka teruja pada saat pengantin perempuan keluar, kemudian duduk di atas pelamin. Cantik! Semua orang di situ memuji pengantin perempuan sangat cantik.

Mina mahu menelefon dan memberitahu kawan-kawannya yang lain iaitu Yurina, Tina dan Henna semalam, tetapi dia risau mereka penat memandangkan baru semalam mereka balik ke rumah masing-masing. Lagipun, Ayumi juga telah menegah dia melakukannya. Mungkin Ayumi malu. Yalah, ini ialah perkahwinan paksa, bukannya yang dia rela. Jadi, ia bukan hari bahagia bagi Ayumi.

Sekarang mereka semua menunggu kelibat tok kadi pula. Tok kadi dijangka sampai pada pukul 10.00 pagi, jadi mereka semua menunggu dengan sabar. Jam di dinding terus berdetak sehinggalah jarum jam menunjukkan pukul 10.15 pagi. Namun, kelibat tok kadi langsung tidak kelihatan. Mereka semua mula risau, ada yang mula mengambil telefon dan meletakkan ia ke cuping telinga. Menelefon tok kadi itu barangkali. Tetapi, tiada sesiapa yang mengangkatnya.

Mereka semua sabar menunggu sehinggalah pukul 10.45 pagi, namun tok kadi tetap tidak berkunjung tiba. Akhirnya, Samir bangun dari duduk kerana mula tidak sedap hati. Apabila melihat Samir bangun, Afgan juga bangun.

"Pak cik tak perlu ke mana-mana sebab perkahwinan ini dibatalkan. Tok kadi tak akan datang pun." Kata Afgan dengan wajah sebal. Mereka semua terkejut mendengarnya.

"Apa maksud kamu, Afgan?"

"Saya batalkan perkahwinan ini pada hari perkahwinan saya dan anak pak cik. Saya sudah beritahu tok kadi supaya tidak datang sebab saya tidak mahu berkahwin dengan perempuan seperti anak pak cik."

"Apa?" Dahi Samir berkerut seribu. Asamiyah dan yang lain juga begitu. Mereka semua keliru dan kaget. Ia bercampur baur. Semuanya tidak jelas.

"Kalau kamu tidak mahu menikah dengan Ayumi, kenapa kamu semua datang?" soal Zaki, sepupu Samir.

"Kerana saya mahu memalukan dia sebagaimana dia telah memalukan saya. Pak cik tahu macam mana dia pijak maruah saya di depan orang ramai? Dia buat saya macam lelaki yang tidak bermaruah." Marah Afgan kerana hatinya betul-betul sakit.

Bukan hanya kerana kejadian pada hari itu, tetapi pada hari-hari sebelum itu juga. Dia terpaksa hadap semua maki hamun Ayumi di depan orang ramai. Dan kejadian hari itu, seperti 'punat' yang menekan bom jangka dalam hatinya. Hari ini ia meletup.

Ibu Afgan, Azar bangun dan membuka tabletnya, lalu menunjukkan video yang telah menular di media sosial. Dia juga malu dengan perkara itu. Dia sendiri tidak mahu bermenantukan si Ayumi.

Hari ini, dia yang merancangkan semua itu dan memberitahu rancangan tersebut kepada anaknya. Video Ayumi memarahi Afgan kedengaran di pelusuk rumah.

"Anak aku mungkin bersalah, tetapi anak kau juga bersalah sebab memalukan dia macam itu. Kalau kau nak tahu, anak kau ini selalu maki hamun Afgan setiap kali diorang berjumpa untuk uruskan urusan perkahwinan mereka. Kau rasa aku dapat maafkan semua perbuatan itu. Sebagaimana kau sayangkan anak tunggal kau, aku juga sayangkan anak tunggal aku ni." Jelas Azar dengan air mata yang mengalir di pipinya.

OLIENPIECE 1 : Wira Terakhir (Musim 2)Where stories live. Discover now