...sambungan Bab 66

42 7 9
                                    

...

ZULL sudah sampai di bawah ruang legar kondominium tersebut. Dia sudah cuba menghubungi TS Mazhe dan Khai, tetapi panggilan itu tidak dapat mencapai mereka pun. Mungkin mereka menutup telefon kerana tidak mahu diganggu oleh sesiapa buat masa ini.

Oleh itu, Zull terpaksa pergi ke arah meja penyambut tetamu. Terdapat dua orang di situ, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Keadaan di luar kalut kerana ada beberapa wartawan sedang menunggu. Tetapi, beberapa sekuriti sedang mengawal ketat dan menghalang mereka masuk ke lobi kondo tersebut.

Zull berjaya melepasinya kerana pengawal yang berjaga di luar telah melihat Zull bersama-sama dengan keluarga Mazhe pada pagi tadi, iaitu sebelum mereka bergerak menghantar Zull ke rumahnya.

"Boleh telefon TS Mazhe atau Khai? Saya kawan Khai, saya dah datang sini tadi. Beritahu aje diorang yang saya ada sesuatu nak, nak bincang dengan mereka."

Penyambut tetamu wanita itu mengangguk dan terus mendail nombor telefon kondo tersebut. Tidak lama selepas itu, penyambut tetamu tersebut membenarkan Zull pergi ke sana. Zull menaiki lif untuk naik ke tingkat 5 kerana kondo milik keluarga Mazhe berada di tingkat 5. Kondo itulah yang menjadi tempat Mazhe berulang-alik dari syarikatnya sepanjang dia berada di KL.

Roy Azrai membuka pintu apabila gerangan Zull sudah sampai di hadapan pintu kondo tersebut. Zull tersenyum dengan riak yang serba salah. Apa yang perlu dia buat sekarang ini? Kalau dia minta maaf, adakah mereka akan menerimanya?

"Zull!" melihat sahaja kelibat Zull, Khai terus memeluknya. Perkara itu lagilah membuatkan Zull rasa serba salah. "Terima kasih sebab datang."

"Um." Balas Zull ringkas dan meleraikan pelukan Khai. "Khai...aku datang dengan hajat."

"Hajat apa?" duga Nek Chu yang berada di belakang.

Mukanya betul-betul sebal. Perkara itu betul-betul telah menconteng arang ke muka mereka sekeluarga. Malunya dia rasa. Nak keluar pun dia rasa malu sekarang ini. Sudahlah cucunya, Khai baru saja bertunang. Apalah yang difikirkan oleh Ayumi dan ahli keluarganya nanti.

Zull menelan air liur apabila melihat wajah Nek Chu. Kalau Nek Chu dan Mazhe tahu ini ialah perbuatan abangnya, lagilah keruh hubungan mereka nanti. Dia tidak nampak kelibat Mazhe di situ. Apalah yang difikirkan oleh orang tua itu nanti.

"Aku datang nak minta maaf."

"Dah kenapa pula kamu mahu minta maaf?" soal Nek Chu mula menghidu sesuatu yang aneh.

Zull hanya menundukkan kepalanya. Apa yang patut dia cakap ini? Berterus-terang ke? Itulah, kenapalah dia datang tanpa memikirkan dialog yang sesuai untuk dituturkan. Alamak, macam mana ni? Zull menggerutu dalam hatinya.

"Adik okey ke?" soal Khai pula apabila Zull hanya berdiam diri. Ini tidak seperti Zull. Roy juga berkerut seribu apabila melihat Zull hanya membatukan dirinya.

Kemudian, Zull mengangkat muka apabila mendengar pintu bilik di situ dikuak oleh seseorang. Dia dapat melihat wajah Mazhe terpacul di situ. Jadi, dia terus melarikan lirikan matanya ke arah lain.

"Dah kenapa senyap aje ni? Buang masa-lah macam ni." Kata Nek Chu tegas, kali ini dengan nada geram.

"Sa-saya yang sebarkannya. Video tu."

Khai, Roy dan Nek Chu terus membuntangkan mata mereka luas. Tanpa berfikir panjang, penampar Nek Chu terus hinggap ke pipi Zull. Kuat juga sehingga badan Zull tergerak dari posisi dia berdiri tadi. Tamparan itu juga telah menyebabkan bibir Zull terluka. Aduh, sakitnya. Berdengung dan berdesing telinganya selepas ditampar tadi.

OLIENPIECE 1 : Wira Terakhir (Musim 2)Where stories live. Discover now