...
PADA malam itu, tepat pukul 8 malam, Jason, Robert dan Yassin menemui bos besar Geng Ketupat iaitu Michael. Tika itu mereka berada di dalam kilang membuat keropok ikan dan udang. Sebenarnya, kilang itu hanyalah samaran mereka kerana bisnes sebenar mereka ialah pengedaran dadah.
"Bos." Panggil Jason.
Kali ini, dia memang tekad mahu keluar dari geng ini. Dia sudahpun memberitahu Amir seperti yang Amir suruh. Dia tidak tahu apa perancangan Amir, tetapi dia tahu dia boleh percayakan Amir kerana Amir pernah menjadi kawan baiknya.
Michael berpaling ke arah Jason. Ketika itu, dia sedang membuat lawatan di 'kilangnya' itu. Michael tersenyum. Dia memegang cerut yang dihisapnya dan menghembusnya kepada Jason.
"Kenapa, Jason?"
"Saya, Robert dan Yassin mahu memberitahu bos sesuatu. Boleh kita jumpa di bilik bos sekejap?"
Michael memandang Jason, Robert dan Yassin dahulu, selepas itu barulah dia mengangguk faham. Dia berjalan pergi ke biliknya dan diikuti oleh Garkha, pembantu serta pengawal peribadinya yang pakar silat dan kung fu. Garkha juga ialah guru kepada Jason dan yang lain dalam seni pertahanan diri. Semua itu supaya senang mereka mahu menggertak orang yang tidak membayar hutang.
Tetapi, buat masa sekarang kerja Jason, Robert dan Yassin hanyalah menghantar 'barang' dan memeras ugut yang liat membayar hutang. Tugas memukul dan menakut-nakutkan mangsa mereka adalah orang yang lebih berpengalaman berbanding mereka bertiga.
Jason dan yang lain mengekori dari belakang. Mereka sama-sama berdebar-debar di dalam hati mereka, tetapi mereka tidak mahu menunjukkannya.
Setelah Michael sampai di kerusinya, dia melabuhkan punggung dan menyilangkan kakinya. Sikunya pula menongkat di lengan kerusi.
"Jadi apa yang kamu mahu beritahu saya, Jason? Jarang sekali kamu mahu berjumpa dengan saya secara peribadi macam ini."
"Ehem." Jason berdeham dahulu kerana masih ragu-ragu untuk memberitahunya, tetapi ini adalah satu-satunya peluang yang mereka ada.
"Kami mahu keluar dari Geng Ketupat." Katanya apabila sudah menemui sedikit kekuatan.
Michael berhenti menghisap cerut dan pandangannya juga turut berhenti pada Jason. Dia memadamkan api cerut itu dengan menenyeh muncung cerut ke dalam bekas habuk rokok kaca.
"Kenapa tiba-tiba? Tidak cukupkah bonus dan gaji yang aku berikan?"
"Semuanya cukup, tetapi sudah sampai masanya saya keluar memandangkan kami mahu sambung belajar."
"Heh. Ahahaha! Sambung belajar? Masa kau mula-mula 'join' aku dulu, kau tak fikir pula pasal ni ya? Betul ke itu alasannya?"
"Ya, betul."
"Heh, aku tak suka orang yang menipu aku, Jason. Sebenarnya mak kau dah bangun, kan?"
Jason mengangkat mukanya yang asyik menunduk dari tadi. "Tak, ia tidak ada kaitan dengan ibu. Kami sendiri yang mahu keluar sebab memikirkan masa depan ka-."
Belum sempat Jason menghabiskan kata-katanya, bekas habuk kaca itu terus melayang ke udara. Jason sempat mengelaknya, tetapi disebabkan refleks itu ia terkena Robert yang berada di belakangnya.
"Aaaaah."
Robert terus mengerang kesakitan kerana bekas kaca itu terkena dahinya tadi. Jason dan Yassin terus berpaling ke arah Robert. Mereka berdua menelan air liur. Mereka bertiga memang agak takut dengan Michael. Walaupun Michael tidak banyak beraksi di depan mereka, tetapi aura yang ditonjolkan oleh Michael sangat mengerikan.
YOU ARE READING
OLIENPIECE 1 : Wira Terakhir (Musim 2)
FantastikSambungan Olienpiece Siri 1. Tapi, ini musim 2 atau bahagian 2. PS: Saya dan sampai limit atau had bab, jadi terpaksa buat musim 2 atau bahagian 2. Huhuhu #1 in wira (3/7/2022) #1 in komik (4/1/2023)