Kereta mewah berwarna hitam Matte berhenti di sebuah perkarangan rumah. Ekzos kereta yang mengaum membuatkan seisi rumah mencari punca bunyi tersebut. Apabila tuan empunya badan memboloskan diri daripada kereta, dia disambut mesra.
"Ha, Eeq, balik pun... ingatkan tak nak balik dah jenguk mak dengan abah." Suara Puan Insyirah menyapa gegendang telinga ketika Fareeq mengucup kekura tangan wanita itu sebelum tangan Encik Farid disalamnya.
"Bukan tak nak datang, mak. Tapi sibuk sikit." Lelaki menggaru belakang kepala yang tidak gatal.
Puan Insyirah mencebik mulut. Setiap kali pulang, itu saja lah alasan yang diberi anaknya. Sibuk, sibuk dan sibuk. Walau bagaimanapun, dia tahu Fareeq buat semua ini untuk mereka sekeluarga. Jika bukan kerana usaha lelaki itu, nasib keluarga mereka takkan berubah. Ikutkan hati anaknya, Fareeq mahu membawa mereka menetap di bandar tetapi dia yang menolak kerana sayang untuk meninggalkan kampung tempat kelahirannya.
"Ala awak ni, kan Eeq dah balik ni. Kalau tak balik, awak yang rindu kemain. Bila dah balik, awak membebel pula dekat dia. Kesian budak tu." Sampuk Encik Farid membela anak sulungnya.
"Ish, abang ni! Saya gurau aje!" Lengan suaminya ditepuk lembut. Muncung mula panjang sedepa kerana diusik suaminya.
Fareeq hanya tersenyum kecil. Mata kemudian terhala ke arah sebuah lagi kereta mewah di sebelahnya.
"Yad dah balik?" Soal Fareeq seraya tangan membuka pintu kereta sebelum dibawa keluar beg sandangnya.
"Dah, baru juga sampai. Kenapa Eeq tak balik sekali dengan Yad? Kan kerja sama-sama." Balas Puan Insyirah.
"Eeq kena pergi tempat lain tadi. Sebab tu suruh Yad balik dulu." Ujar Fareeq.
"Eh, dahlah, meh masuk. Borak dekat luar kenapa? Mari masuk." Pelawa Encik Farid, teruja. Menyambut kedatangan anak-anaknya cukup menggembirakan hati. Bukan apa, semakin dewasa, mereka semua mempunyai haluan masing-masing. Apabila dapat berkumpul ramai-ramai seperti ini, ibu bapa mana yang tidak suka?
"Eh Fareeq, dah balik, ya?!" Lauangan seorang wanita di sebelah rumah menghentikan perbualan mereka anak-beranak. Pantas tiga kepala memandang ke arah suara tersebut. Terus Fareeq ukir senyum tipis sambil mengangguk.
"Iya, mak cik. Baru balik."
Wanita separuh usia itu menghampiri hujung halaman rumahnya mendekati mereka lantas tersenyum lebar. "Wah, untunglah kamu Syirah, ada anak kerja besar. Merasalah naik kereta besar. Dekat kampung ni anak kamu sorang aje bawa kereta mewah. Tak ada orang lain dah." Ucapnya bersama mulut terherot-berot. Sesekali mata mengerling ke arah kereta hitam milik Fareeq. Boleh naik juling melihatnya. Sekadar pandang pun boleh rasa gah apatah lagi kalau dapat sentuh.
Puan Insyirah dan Encik Farid saling berpandangan. Mereka hanya senyum kerana mereka lebih tahu kesusahan yang dihadapi mereka sekeluarga. Dahulu, waktu hidup mereka dilanda kesusahan, tiada siapa pun peduli. Tetapi, sekarang apabila nasib mula berubah, pandangan manusia juga berubah. Benarlah, harta dan kekayaan itu menjadi keutamaan manusia.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...