Pang!
"Aku cakap tak nak, tak naklah! Kau tak faham ke?!"
Jeritan nyaring dari bilik sebelah menyentak Fareeq yang baru lepas menunaikan solat Isyak. Mujurlah dia telah selesai berdoa. Kerana takut apa-apa yang terjadi pada isterinya, Fareeq terus bangkit lantas bergerak ke pintu yang menghubungkan biliknya dan Jelita.
"Jelita, kenapa ni?" Fareeq merenung isterinya dan orang gaji barunya bersilih ganti.
Jelita menjeling tajam ke arah suaminya.
"Orang gaji you ni tak faham ke, I cakap tak nak makan, dia nak paksa-paksa kenapa?!"
"Kau tak makan dari semalam. Lagipun ni dah malam, Jelita. Perut kau kosong, tahu tak?" Dia melangkah mendekati katil Jelita. Dia mengerling ke arah lantai yang sudah bersepah dengan pinggan yang telah pecah dan juga nasi yang berterabur.
Jelita merengus kasar. Dia mahu bangun tetapi Fareeq lantas menghalang.
"Eh, kau nak pergi mana?! Kau tak nampak ke kaca tu?!Kena kaki nanti!" Kerana terlalu takut, Fareeq tertinggikan suara pada Jelita sehingga wanita itu tersentak.
"Tolong ambil penyapu, penyodok dengan mop. Plastik sampah sekali. Biar saya kemas ni." Dia mengarahkan pembantunya yang masih baru itu. Selalunya Kak Su yang akan uruskan Jelita kerana wanita itu lebih rapat dengan isterinya. Mungkin Kak Su sibuk di dapur.
Selepas pembantunya menyerahkan apa yang dia mahukan, Fareeq teruskan kerjanya mengutip kaca yang pecah lalu dibuang ke dalam plastik sampah. Selepas itu, dia menyapu sisa nasi yang bertaburan. Tidak cukup itu, Fareeq juga mengemop lantai supaya tiada serpihan kaca di situ. Selesai sahaja, dia menyerahkan semua barang tersebut kepada pembantunya tadi.
"Nanti minta Kak Su sediakan makanan lain. Kalau boleh yang berkuah. Nanti saya ambil di bawah." Sebelum pembantunya beredar, sempat dia menitipkan pesanan.
Jelita yang duduk di atas katil hanya mampu kejung melihat Fareeq yang lincah membuat kerja tadi. Walaupun ada pembantu, lelaki itu tetap mahu melakukannya sendiri.
Fareeq memberi sepenuh perhatian terhadap Jelita pula. Tangan bercekak pinggang. Wajah ditayang serius.
"Kenapa buat macam tu? Kalau tak suka, jangan buang makanan macam tu. Membazir namanya. Dah jadi satu hal nak kena kemas." Nadanya biarpun kedengaran tegas tetapi tidak sedikitpun tinggi.
"You merungut? Kan ada pembantu rumah, apa yang nak susahkan diri sendiri nak kemas?" Jelita menyilang tangan ke dada. Berani menentang mata sang suami.
"Aku tak merungut tapi aku cuma ingatkan kau. Aku tak kisah kalau kau nak pecahkan sepuluh pinggan sekali pun tapi kau dapat apa bila buat semua tu?"
Wajah Jelita berubah riak. Terkebil-kebil memandang Fareeq.
"Memang ada pembantu rumah tapi yang buat perangai tu isteri aku. Jadi, akulah yang kena bertanggungjawab. Isteri aku mengamuk tak tentu arah, takkan aku nak tengok aje?" Fareeq membidas laju tanpa sempat Jelita membuka mulut hendak membalas.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...