Bum!
Staf yang berada di situ masing-masing terkejut mendengar pintu yang dihempas. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Ada yang mempamerkan riak cuak, ada juga yang sudah menelan liur berkali-kali. Bekerja bertahun-tahun di situ telah memberi pengalaman buat mereka. Jika begitulah suasana di tempat kerja mereka pada hari itu, mereka tahulah 'angin' bos mereka tidak baik. Janganlah ada yang membuat kesilapan. Tidak mustahil boleh dibuang kerja serta-merta biarpun kesalahannya kecil.
"Kenapa semua nampak tercengang ni?" Soal Fayyad yang baru tiba di tingkat tersebut. Hairan dia melihat staf di situ yang tidak bergerak untuk beberapa minit. Yang berdiri, kekal berdiri. Yang sedang berjalan, terus terpasung langkahnya. Yang sedang memegang fail, fail masih kekal di tangan. Semua dah kena sampuk ke ni? Getusnya dalam hati.
Salah seorang pekerja di situ menggeleng seraya mengukir senyum tawar.
"Tak ada apa, tuan," ujar pekerja tersebut. Takkan mereka mahu memberitahu hakikat yang semua orang sudah sedia mengerti? Fayyad adalah adik kepada bos mereka. Berani bercakap tentang abangnya, mahu dipenggal kepala pula nanti.
Pak!
Pintu yang dibuka membuatkan semua staf kembali meneruskan kerja masing-masing. Yang sedang berdiri pantas duduk. Yang sedang duduk, pantas buat-buat sibuk. Yang berhenti daripada berjalan tadi, terus mengangkat kaki laju. Semua di situ kecut perut melihat bos mereka muncul di muka pintu.
"Ibad?!" Fareeq menjerit nama setiausahanya.
Ibad yang sedang memeriksa beberapa dokumen bingkas bangun lantas menyahut.
"Ya, saya tuan!"
"Jadual aku hari ni mana?! Aku dah cakap kan aku nak jadual aku ada atas meja pagi ni sebelum aku sampai!" Melengking suaranya memenuhi tingkat tersebut. Masing-masing sudah menelan liur yang tersekat di celah kerongkong.
"Saya minta maaf, tuan tapi tuan tak ada apa-apa appointment hari ni sebab tuan sepatutnya cuti sampai hari ni. Itu yang saya kosongkan jadual tuan hari ni." Ibad menggigit bibir menahan gemuruh ketika bertentangan mata dengan Fareeq. Setahunya, Fareeq yang meminta cuti beberapa hari sehingga hari ini. Tetapi, tiba-tiba lelaki itu muncul di pejabat tadi. Mana tidak semua orang menjadi kelam kabut?
Fareeq mendengus marah.
"Cakap dengan semua yang terlibat dengan kes Phantom, meeting lagi lima belas minit!" Tempelaknya kuat lantas menghempas pintu supaya kembali tertutup. Sekali lagi, semua staf di situ terhinggut bahu kerana terkejut.
Fayyad mengerling ke sekeliling. Bibir mengeluh kecil melihat staf mereka yang kecut perut dengan ketegasan Fareeq. Dia sebagai adik pun tak mampu berbuat apa-apa. Hendak tak hendak, mereka harus menerima segala yang bakal berlaku hari ini.
"Lima belas minit? Matilah kita! Mana sempat!" Salah seorang staf yang terlibat mula kelam kabut mengerling jam tangan. Fail-fail yang berada di atas meja disusun satu per satu untuk dikemukakan di mesyuarat nanti.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...