Fayyad mengerling ke arah Fareeq sebelum dia angkat kaki pergi daripada situ, memberi ruang kepada Jelita dan Fareeq untuk berbincang. Silapnya juga kerana tidak menutup pintu ketika masuk tadi. Kalau tidak, Jelita pasti takkan dengar.
"Abang..." Jelita menghampiri Fareeq dengan seluruh tubuh menggigil.
Fareeq palingkan wajah ke tepi, seperti tidak sudi memandang isterinya.
"Abang, apa yang Fayyad cakap tadi tak betul, kan? Semua tu tipu, kan? Abang, cakap dengan Jelita! Semua tu tipu, kan?" Suaranya kedengaran terdesak mahukan jawapan daripada mulut Fareeq. Kebisuan lelaki itu membuatkannya jadi tak tentu arah.
Fareeq masih menyepi.
"Abang... kenapa diam? Cakap dengan Jelita, semua tu tipu! Cakap, abang! Cakap!" Lengan Fareeq dipegang kejap.
"Abang..." tangisannya kedengaran. Kepala tertunduk ke bawah. Apa yang dia harus lakukan sekarang? Sungguh dia buntu. Separuh dirinya tidak mahu mempercayai, tetapi mengapa Fareeq tidak menafikan?
"Aku buat semua ni untuk kau."
Jelita angkat wajah. Merenung sayu ke arah suaminya. Mengapa dia rasa tatapan Fareeq begitu kosong? Tiada lagi tatapan cinta seperti biasa.
"Memang aku pergi mahkamah siang tadi. Itu yang kau nak dengar, kan?"
Jatuh pegangan Jelita di lengan Fareeq. Kakinya terundur beberapa langkah ke belakang. Kepala digeleng tidak percaya.
"Tak! Abang takkan buat macam tu! Abang dah janji nak jaga Jelita sampai bila-bila! Tak, Jelita takkan percaya!" Jerit wanita itu lantang diselangi tangisan yang masih belum reda.
"Aku tak jaga kau dengan baik pun selama ni."
Jelita menggeleng laju. "Sampai hati abang buat Jelita macam ni! Jelita cintakan abang! Jelita cuma nak abang, kenapa abang buat macam ni?" Lirih suaranya memenuhi ruang bilik tersebut.
Fareeq menelan liur payah. Tidak sanggup melihat wajah sang isteri, dia hanya pandang ke tempat lain.
"Abang... tolonglah, maafkan Jelita. Jelita janji takkan ingkar kata-kata abang lagi. Jelita janji takkan membelakangi abang lagi. Tolonglah maafkan Jelita, abang. Jelita minta ampun..." laju tangannya menarik tangan kasar Fareeq. Digenggam bagai tak mahu dilepaskan.
"Abang, tolonglah jangan lepaskan Jelita. Jelita merayu, abang. Jelita merayu..." wanita itu hampir melutut di depan Fareeq sebelum Fareeq laju menahan perbuatan isterinya.
"Jelita, berhentilah! Jangan buat macam ni!" Tempik Fareeq marah.
"Tolonglah, abang. Jelita merayu jangan lepaskan Jelita. Jelita janji akan dengar cakap abang lepas ni. Jelita takkan buat keputusan melulu lagi. Tolonglah, abang. Jelita minta ampun..." tertunduk wajahnya menahan tangis.
"Aku tahu apa yang aku buat. Jangan halang aku."
Jelita terdiam. Nafasnya berubah kencang.
"Ini untuk hubungan kita. Kalau aku tak buat macam ni, semuanya akan jadi lebih teruk." Sambung Fareeq lagi.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...