Mata teralih kepada pintu yang terkuak dari luar. Figura seorang lelaki melangkah masuk dengan senyuman. Di tangannya, terdapat sejambak bunga dan bungkusan makanan. Selama seminggu dia berada di sini, setiap hari lelaki itu akan datang menjenguknya. Terkadang dia hairan. Mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain tetapi rajin pula lelaki itu datang ke sini semata-mata hendak melawat.
"Hai, Haniya! I datang!" Ceria nada suaranya menyapa telinga. Haniya pula hanya memandang kosong saja.
"Saya rasa awak tak perlu kot datang setiap hari, bawa bunga segala bagai. Tengok tu, dah tak muat meja tu, penuh dengan bunga aje!" Ucap Haniya mendatar. Bukan dia tidak suka tetapi dia kurang selesa. Mereka hanyalah orang asing.
"Apa salahnya? Bunga elok tau untuk orang sakit, boleh mendatangkan aura positif. Lagipun, bukan ke perempuan suka bunga?" Ini satu personaliti Haniya yang dia bingung. Kalau gadis lain, laju saja mereka menerima bunga yang diberi, siap dihadiahkan pelukan dan ciuman lagi. Tetapi Haniya, hanya memandang sepi. Langsung tiada riak teruja di wajah.
"Berapa ramai perempuan yang awak kenal yang suka bunga?" Haniya membidas selamba. Dia terus halakan pandangan ke luar jendela semula.
Fayyad terdiam. Dia mengemam bibir, takut terlepas kata. Nampak sangat ke dia ramai teman wanita?
"Ah tak apalah, kalau you tak suka bunga, I ada bawa makanan manis. I tahu makanan hospital tak sedap." Secepat mungkin dia menukar topik perbualan. Takut jadi sesuatu yang tak diingini pula.
Walaupun tidak dipelawa, dilabuhkan juga duduk di atas kerusi, sebelah katil pesakit. Wajah sisi Haniya ditenung lama. Mulalah fikirannya teringat kembali ketika dia berbual dengan doktor yang merawat Haniya.
"Cik Haniya disyaki menghidap penyakit HIV, Human Immunodeficiency Virus. Ianya virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan Cik Haniya dan menyebabkan AIDS. Seseorang yang menghidap HIV lebih mudah dijangkiti kuman dan kanser."
Fayyad terpempan mendengar berita tersebut. Banyak persoalan dalam mindanya. Bagaimana gadis polos seperti Haniya boleh dijangkiti penyakit berbahaya seperti itu? Apa yang sudah dilalui gadis itu? Dia tidak bodoh untuk tidak mengetahui bagaimana penyakit HIV boleh tersebar. Yang menjadi persoalan, benarkah Haniya pernah melalui pengalaman itu?
"Kami syak Cik Haniya dah lama menghidap HIV menjurus kepada jangkitan kuman di beberapa organ dalam badan. Sebelum ni Cik Haniya tak pernah buat rawatan di mana-mana hospital ke? Ataupun dia tak tahu?"
Fayyad hanya mampu menggeleng. Dia sendiri tidak tahu, bagaimana mahu dijelaskan kepada doktor.
"Buat masa ni kami terpaksa tahan Cik Haniya lebih lama di sini untuk tujuan pemantauan. Kami bimbang kalau kuman mula berjangkit di organ-organ penting pula."
"Kami akan beri dia ubat untuk mengawal dari jangkitan merebak ke organ lain."
Fayyad melepaskan keluhan berat. Ketika doktor itu menyebut perkataan 'mengawal', bermakna kuman itu akan tetap berjangkit tetapi tujuan ubat adalah supaya ianya tak berlaku dengan sangat pantas.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐉𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍𝐍𝐘𝐀
Romance[ Book 7 ] Fareeq Isyraf- Dia lelaki yang tidak akan bertolak ansur dengan keingkaran. Setiap arahan mahupun perintah, tidak diberi pilihan selain patuh. Namun, ketika dia diberikan arahan, dia juga harus patuh biarpun harganya harus dibayar seumur...