༶•┈┈⛧┈♛ ♛┈⛧┈┈•༶
[ Alice's POV ]
❝ Perhaps you will gradually, without even noticing it, find yourself experiencing the answer, some distant day. ❞
Matahari timbul dan tenggelam. Aku di sudut ini tidak berganjak sehingga tibanya malam. Makan tidak, minum pun tidak. Aku lupa lapar dan dahaga. Hanya resah satu-satunya aku rasa. Sesekali kedengaran ketukan pada pintu dengan suara-suara yang aku kenali menyusuli tetapi setelah segala yang terjadi kelmarin hari, aku tidak tahu siapa yang sepatutnya aku percaya lagi.
Di atas katil aku menyelimuti diri sembari mata melilau liar ke kanan dan ke kiri. Aku tidak datang ke kelas hari ini—jangankan kata di luar sana, bahkan di dalam bilik sendiri aku rasa diperhati! Atau mungkin imaginasi yang mula memakan diri...
Tekakku tiba-tiba terasa mual memikirkan sebuah kemungkinan yang cuba aku ketepikan untuk beberapa jam lamanya—aku menjadi satu-satunya pelajar perempuan di akademi ini atas sebab tersendiri yakni tidak aku ketahui tetapi yang aku pasti, tindak-tandukku diekori... oleh siapa? Itu masih menjadi misteri.
Adakah aku berada di dalam sebuah realiti TV?
Tidak mustahil... lagi-lagi dengan situasi aku kini—diletakkan di dalam bahaya untuk menyaksikan bagaimana aku bereaksi. Segala keputusan yang aku ambil—segala kejadian yang aku lalui sebagai pelajar perempuan tunggal disaksi seluruh dunia tanpa sedikit pun aku sedari. Aku cuma bahan uji kaji di dalam cerita sendiri. Hanya aku yang lalai selama ini.
The Truman Show.
Aku bangkit dari katil lalu meluru ke bilik air apakala sesuatu meronta-ronta di dalam esofagus ini, memaksa aku memuntahnya keluar. Tiada apa-apa selain asid perutku sendiri memandangkan aku tidak makan apa-apa sejak malam tadi—sejak parti yang berakhir ngeri... Aku cuci kedua-dua tangan sebelum keluar dari bilik mandi.
Sempat mataku mendarat di atas bakul dobi yang terletak kemas di sisi singki. Sebelum bergerak, aku tanggalkan baju milik seorang lelaki dari tubuh ini—dengan itu, hangatnya pergi. Baju itu diletakkan ke dalam bakul dengan cermat seolah-olah harta karun yang aku simpan ini.
Tidak lama menyelongkar di dalam almari, aku gantikan pakaian baru pada diriku. Baju serta seluar paling gelap aku ada menjadi pilihan, biar tiada sesiapa yang mengesan. Tanpa berbekalkan tidur yang mencukupi, aku akhirnya keluar dari empat dinding yang mengurungi juga melindungi aku sepanjang hari—keluar dari akademi ini.
The Truman Show.
Jika ini benar salah satu, bermakna akan ada yang mengejar aku.
🌻🌻🌻
Kaching!
Beberapa keping syiling jatuh berdenting di atas laluan pejalan kaki, menyentakkan seorang jaga yang ditugaskan untuk mengawasi pintu pagar akademi pada malam ini. Tanpa teragak-agak, dia yang berdiri berdekatan terus meluru mendapatkannya kerana bukan setiap hari sesiapa jumpa wang jatuh dari langit—kecuali kepingan sen Malaysia itu sebenarnya datang dari dalam genggaman aku.
"Sorry, pak cik!"
Aku mohon maaf kepada jaga yang tidak berdosa sebelum memukul lehernya dengan tepi tangan, memengsankan dia serta-merta. Kad akses yang tergantung pada tali pinggangnya aku ambil lalu berlari ke arah pondok jaga. Pintu pondok jaga memerlukan proses pengesanan iris untuk dimasuki, nasib aku baik kerana ia masih terbuka tatkala aku tiba.

YOU ARE READING
Putera Hati
Jugendliteratur『 Kisah Alice dan Para Putera Bahagian Dua 』 ⊱────── {⋅. ♛ .⋅} ────── ⊰ Alice Allyna, heroin paling gila lagi sendu kembali semula ke Akademi DiRaja Granté selepas tamatnya semester pertama, dengan harapan tahun baharu ini akan menjadi lebih normal...