Nasi goreng masakan sendiri aku suap ke dalam mulut sendiri tanpa henti, sesekali meneguk air kosong bekalan dari rumah dengan penuh rakus gara-gara mengejar masa. Waktu rehat aku tidak lama. Cukup 15 minit sahaja untuk aku mengisi perut sebelum meneruskan rutin kerjaku hari-hari. Ada banyak nyawa pesakit perlu aku jaga, selain nyawa dikandung tubuh ini...
Perut yang kini kekenyangan aku usap perlahan-lahan, sukar mahu percaya aku membawa bukan sahaja nyawaku sendiri malah nyawa yang baru. Anugerah Tuhan kepadaku. Bekas Tupperware yang sudah licin diletakkan ke tepi lalu aku mendongak buat seketika. Sekawan burung bangau yang sedang berterbangan di langit sana menyapa pemandanganku. Jangan-jangan... mereka yang hantar zuriat aku sebenarnya?
"Bangau tak hantar bayi tau. Bayi tu kau yang lahirkan, bukan bangau beri."
Hampir aku tersedak air liur sendiri apabila suara itu berkata betul-betul di belakang aku, padahal dari tadi lagi cuma aku seorang sahaja yang berada di tempat rehat atas bumbung hospital ini. Kalau ada orang lain berani ceroboh kawasan jajahan aku, ianya tidak lain tidak bukan...
"Hendry!"
Empunya nama itu sudah duduk bercangkung di atas meja entah sejak bila aku pun tidak sedar, memandang aku dengan muka tiada perasaan macam selalu. Tiada perasaan dan tiada amaran apabila dengan tiba-tibanya, satu jentikkan dihadiahkan pada dahi aku. Aku mengaduh sakit.
"Apa ni main jentik-jentik ibu mengandung? Aku call polis sekarang!"
Aku bingkas bangun dari bangku lalu berlari anak menuju ke hujung bumbung. Tidak jauh dari bangunan ini aku nampak pondok jaga, bukan polis tetapi masih dalam kategori anggota keselamatan juga. Baru sahaja aku hendak berteriak sekuat hati memanggil mereka jauh di hujung dunia sana, bahuku ditepuk oleh Hendry yang kemudiannya berkata,
"Kalau polis tanya tu anak siapa, kau nak jawab macamana?"
Soal Hendry, serius nadanya.
"A-Anak..."
Pertanyaan Hendry membuatkan nafasku tersekat di pertengahan trakea, sama seperti saat itu. Aku cuba menarik dan menghembusnya semula, tetapi berbuat begitu hanya menyesakkan dadaku yang seakan sudah penuh diisi kepulan-kepulan asap hitam di sekeliling aku. Asap hitam yang sehingga kini menelan aku di dalam kegelapannya, dan menelan dia...
"Hidup untuk aku, Katie."
Menelan dia di dalam api yang membara...
"Katie!"
Tatkala teriakan Hendry menarik aku keluar dari memori hitam itu, tangan ini sudah berada di tengah-tengah dada tanpa aku sendiri sedari—mencengkam di sana sekuat-kuat aku mampu agar sakit di dalamnya turut hilang bersama tajamnya kuku yang mengguris sehingga ke hati. Tercungap-cungap aku cuba mencari nafasku semula. Sukar.
Sehinggalah satu-satunya yang aku perlukan sekarang ini berada di dalam genggamanku—inhalerku, aku terus bawa ke mulut lalu menyedutnya sedalam aku mampu. Berulang-ulang aku berbuat begitu. Berulang-ulang juga ini berlaku. Hidupku bergantung sepenuhnya kepada inhaler ini. Dulu tidak—dulu aku hanya bergantung kepada Chris. Dan kini tanpa dia di sisi... sesuatu semudah bernafas tidak mampu aku lakukan sendiri. Udara yang kuhela hilang buat selama-lamanya. Satu-satunya insan yang berharga buatku pergi buat selama-lamanya...
"Ada makan ubat tak? Semalam dapat tidur? Jangan cakap kau berjaga lagi malam tadi. Kau dengar kan apa Dr cakap haritu? Katie, kau kena jaga kesihatan—"
Habis aku disoal siasat oleh Hendry sebaik sahaja aku dapat menarik dan menghembus nafas dengan lancar semula. Setiap pertanyaannya hanya aku anggukan sambil meneguk air kosong dari botol minumanku tanpa henti—haus benar tekak ini selepas bertarung dengan diri sendiri tadi. Hendry menepuk dahi, tergeleng-geleng bagaikan aku sengaja mahu huru-harakan hidupku sendiri.
YOU ARE READING
Putera Hati
Fiksi Remaja『 Kisah Alice dan Para Putera Bahagian Dua 』 ⊱────── {⋅. ♛ .⋅} ────── ⊰ Alice Allyna, heroin paling gila lagi sendu kembali semula ke Akademi DiRaja Granté selepas tamatnya semester pertama, dengan harapan tahun baharu ini akan menjadi lebih normal...