Aira Damia, seorang doktor muda dengan senyuman yang mampu mencairkan hati sesiapa sahaja, memulakan pagi dengan penuh semangat di hospital tempat dia berkhidmat sebagai doktor pakar. Cahaya matahari pagi menyelinap masuk melalui tingkap hospital, memberikan sentuhan keemasan pada segala yang disentuhnya, termasuklah Aira yang sedang bersiap-siap memulakan tugas.
"Selamat pagi, Mak Cik Halimah. Macam mana pinggang hari ini? Dah semakin baik?" sapa Aira mesra kepada seorang pesakit tua yang melintasi hadapannya dengan kerusi roda.
"Dah semakin baik, doktor. Terima kasih," jawab Mak Cik Halimah dengan senyuman hangat yang menambah seri wajah tuanya.
Selepas memastikan keadaan Mak Cik Halimah stabil, Aira menuju ke tingkat 7 di mana biliknya berada. Ketika lif terbuka di tingkat 4, iaitu wad kanak-kanak, dua kanak-kanak kembar perempuan berlari-lari masuk dengan riang.
"Jangan berlari, Luna, Lana," tegur seorang wanita separuh usia yang turut masuk ke dalam lif, suaranya penuh kasih sayang dan prihatin.
"Kak Aira!" seru salah seorang kanak-kanak itu, menyapa Aira dengan penuh kegembiraan.
"Aip, panggil dia doktor lah, bukan kak. Doktor Aira," kata ibunya kemudian tersenyum kepada Aira.
"Hahaha, tak apa, Puan Izzati," balas Aira dengan lembut sambil melambai tangan tanda tidak kisah.
"Luna, macam mana tangan hari ni? Dah semakin baik?" tanya Aira sambil membongkok sedikit, meletakkan tangannya di lutut agar lebih dekat dengan si kecil.
Luna, yang sedari tadi bersembunyi di belakang adiknya, Lana, mengangguk perlahan. Tangannya yang berbalut disentuh lembut oleh Aira, membuatkan Luna tersenyum malu-malu. Lana pula memaut bahu Luna agar dia tidak lagi bersembunyi.
Aira tertawa kecil melihat telatah si kembar. Sejak mengenali mereka, dia tahu Luna adalah seorang yang pemalu sementara Lana sangat periang dan banyak cakap. Mereka kembar, tetapi personaliti yang berbeza menjadikan hubungan mereka lebih menarik, persis seperti dia dan abangnya, Aiden Darwisy.
Setibanya di tingkat 7, Aira terus ke kaunter untuk menyapa para jururawat yang sedang sibuk dengan tugas masing-masing.
"Selamat pagi, Aira," sapa salah seorang jururawat sebaik melihat gadis bermata hazel itu. Jururawat itu merupakan rakan sekerja yang telah mengenali Aira sejak zaman sekolah.
"Selamat pagi. Ada kes kecemasan lagi? Mangsa kemalangan petang semalam macam mana? Masih stabil?" tanya Aira, mengingat kembali insiden semalam.
Tingkat 7 merupakan wad bagi pesakit kecemasan. Setelah pesakit dirawat di bahagian kecemasan di tingkat bawah, mereka akan dihantar ke tingkat 7 untuk rawatan lanjut atau pemantauan.
"Sudah stabil, doktor," jawab seorang lagi jururawat di situ dengan senyuman.
Aira mengangguk lega sambil memandang ke arah katil-katil pesakit. Dia selalu memastikan setiap pesakitnya mendapat perhatian dan rawatan yang terbaik.
"Selamat pagi, Aira," sapa seorang jejaka berkacamata yang sedang berjalan ke arah Aira. Rambutnya agak serabai dan matanya kuyu, jelas menunjukkan dia kurang tidur.
"Selamat pagi, Azril. Mana Aina?" tanya Aira dengan senyuman manis, merujuk kepada seorang lagi doktor bernama Aina.
"Saya suruh dia balik dulu tadi," jawab Azril sambil menggosok belakang tengkuknya yang terasa sakit.
Azril merupakan rakan sekerja yang telah bersama Aira sejak hari pertama dia menjadi doktor. Dia banyak mengajar Aira dan membantu menghadapi cabaran menjadi doktor muda.
"Awak dah boleh balik, Ril. Biar saya pula yang jaga," kata Aira, memberi isyarat untuk menukar shift.
Azril hanya mengangguk sambil membelek beberapa dokumen di tangannya. Kemudian, dia menjelaskan tentang beberapa pesakit baharu yang telah dirawatnya. Aira mendengar dengan teliti, memastikan dia tahu simptom dan alergi setiap pesakit serta apa yang perlu dilakukan sebagai rawatan.
YOU ARE READING
THE SHADOW BETWEEN US
ActionAshraf Rizzi D'Valentini: Jejaka bermata biru yang dibesarkan dalam bayangan kematian, seorang mafia terkenal yang memburu pembunuh abang kembarnya, Arshad. Pada usia 24 tahun, dia telah menundukkan banyak musuh, menyembunyikan identiti dibawah nama...