Di Dalam Tahanan Bloodies Gang
Aira tersentak bangun. Kepalanya terasa berat, pening menusuk seolah ada batu yang menghentam tempurungnya. Pandangannya kabur, dan perlahan-lahan dunia di sekelilingnya mulai terbentuk.
Bau busuk tembakau basi memenuhi rongga hidungnya, membuatnya hampir terbatuk. Perutnya berasa mual, seakan mahu muntah. Dia mencuba bergerak, namun kakinya terasa kaku, seolah-olah diikat. Dalam samar-samar, dia menyedari kedua-dua tangannya diikat pada kerusi besi dengan tali yang ketat, hampir menembusi kulitnya.
Hatinya berdegup kencang. "Aku kat mana?" bisik hatinya, penuh ketakutan.
Matanya yang kini mula dapat melihat lebih jelas menangkap ruang sekitar yang gelap dan suram. Lampu malap berkelip di sudut bilik itu, menggantung rendah dari siling berdebu. Dinding yang diperbuat daripada batu bata kelihatan lusuh dan kotor, ditampal dengan poster-poster lama yang koyak dan berbau hapak.
Di sekelilingnya, dia dapat melihat bayang-bayang beberapa lelaki. Mereka duduk di kerusi kayu usang, menghisap rokok, sambil berbual dalam suara rendah. Derai ketawa mereka bergema dalam bilik yang sempit, seolah-olah menikmati hiburan yang tidak dapat difahami Aira.
Salah seorang daripada mereka, seorang lelaki dengan tatu naga di leher, berdiri di sudut, senapang di bahunya, memandang tajam ke arah Aira dengan senyuman sinis.
Aira menggeliat, cuba membebaskan dirinya. Namun tali yang mengikat tangan dan kakinya terlalu kuat. Hanya gesekan kecil sahaja yang mampu dibuatnya, tetapi itu sudah cukup untuk menarik perhatian lelaki berleher tatu.
"Hei, si cantik dah bangun" katanya dengan suara serak, ketawa kecil sambil meniup asap rokok ke arah Aira. Yang lain-lain berhenti berbual, mata mereka kini tertumpu kepada Aira.
Seorang lelaki lain, lebih tinggi dan berbadan sasa, melangkah ke hadapan. Wajahnya kelihatan kasar, seperti sudah biasa dengan keganasan. Dia merapatkan diri ke arah Aira, matanya memerhati setiap inci wajah Aira, seakan-akan mencari tanda ketakutan.
"Kau dah tahu ke kau dekat mana sekarang, sayang?" suaranya kasar dan penuh sindiran. Aira cuba berlagak tenang, namun debaran di dada seolah mahu meletup.
"Kenapa... kenapa aku kat sini?" Aira berbisik, cuba menahan suara daripada terketar.
Lelaki berleher tatu ketawa kuat. "Kau tak tahu? Kau ni isteri kepada Ashraf Rizzi D'Valentini, kan? Kau ingat senang nak jadi isteri mafia besar macam tu tanpa ada risiko?"
Aira berkerut. Hatinya mula meronta-ronta dengan rasa tidak percaya dan ketakutan. "Apa yang korang nak dari aku?"
Lelaki tinggi tadi menjawab, "Sebenarnya, kami nak Ashraf. Kau cuma umpan. Tapi sekarang aku rasa kau boleh jadi lebih dari tu."
Aira mencuba sekali lagi untuk membebaskan tangannya. "Aku takkan tolong korang! Aku tak tahu apa-apa pasal urusan Ashraf."
"Bohong!" jerit lelaki berleher tatu itu, wajahnya berubah bengis. "Semua isteri tahu rahsia suami masing-masing. Atau... mungkin kau lebih bodoh daripada yang kami sangka?"
Aira menggigit bibir, cuba menahan air mata. Dia harus kuat. Dia tidak boleh menunjukkan kelemahan.
Lelaki berleher tatu itu menghampiri Aira, merendahkan dirinya sehingga matanya sejajar dengan mata Aira. "Kau tahu tak siapa kami?" bisiknya dengan suara yang begitu jahat, hampir seperti bisikan maut. "Kami ni Bloodies. Nama yang paling ditakuti di seluruh bandar. Kami ditugaskan untuk hapuskan Ashraf, dan kau adalah kunci untuk tu."
Aira terdiam. Fikiran berputar ligat, cuba mencari jalan keluar, cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku.
Pintu di hujung bilik terbuka dengan kuat, dan seorang lelaki masuk. Dia lebih tua daripada yang lain, berjanggut kelabu, dan matanya dipenuhi kegelapan yang menakutkan.
YOU ARE READING
THE SHADOW BETWEEN US
ActionAshraf Rizzi D'Valentini: Jejaka bermata biru yang dibesarkan dalam bayangan kematian, seorang mafia terkenal yang memburu pembunuh abang kembarnya, Arshad. Pada usia 24 tahun, dia telah menundukkan banyak musuh, menyembunyikan identiti dibawah nama...