BAB 52: AIRA YANG DEGIL

5 0 0
                                    

Dalam kereta, suasana agak tegang. Danish masih terbatuk-batuk, mukanya pucat akibat terendam dalam laut yang sejuk tadi. Kesan pukulan di kepalanya pula terasa sakit, walaupun darahnya sudah beku dan tidak lagi mengalir.

Khairul, yang memandu di hadapan, melirik ke cermin pandang belakang, memerhatikan Danish dengan pandangan bimbang. Dia tahu betapa keras kepala Danish, tapi keadaan kali ini berbeza.

Khairul menarik nafas dalam sebelum bertanya, "Kau pasti ke tak nak ke hospital, Nish? Kau nampak teruk."

Danish menjeling Khairul sambil menggeleng kepala. "Tak payah la, bro. Aku okey. Ini benda biasa. Lagipun, aku dah lama terlatih dengan semua ni," balas Danish dengan nada tegas.

Walaupun kata-katanya cuba menenangkan, suara serak dan batuk-batuk kecil yang masih kedengaran jelas menandakan keadaan sebenar dirinya.

Ashraf hanya diam di tempat duduk sebelah Khairul, matanya memandang kosong ke luar tingkap. Fikirannya berserabut dengan pelbagai perkara. Tadi dia hampir kehilangan Danish, dan sekarang misi esok pula menghantui fikirannya.

Masalah dengan Aira juga belum selesai. Rumah Aiden semakin hampir, seperti bayangan yang mengingatkan tentang seseorang yang penting. Hatinya berdetak kencang.

Kereta perlahan-lahan berhenti di kawasan gelap yang berdekatan dengan rumah Aiden, namun masih di jarak yang selamat dan tidak akan menimbulkan kecurigaan sesiapa. Ashraf menghela nafas panjang, matanya tertumpu pada rumah itu.

Seolah-olah dengan melihat rumah itu dari jauh, dia dapat merasakan kehadiran Aira. Dia tahu, sudah terlalu larut untuk muncul di situ. Aira mungkin sudah tidur, lena tanpa tahu kekacauan yang sedang berlaku di luar.

Khairul memandang Ashraf dari cermin pandang belakang, cuba menilai apa yang terpendam di dalam fikiran kawannya itu. "Ash, tak payah sekarang. Kau tahu Aira dah tidur. Esok... lepas kita selesaikan misi, baru kau jumpa dia," ujarnya, cuba menenangkan hati Ashraf yang jelas sedang berkecamuk.

Ashraf menggenggam erat penumbuknya, berusaha mengawal perasaan yang meluap-luap. "Aku tahu... tapi... entah la. Semua ni makin teruk," balasnya dengan suara bergetar, menahan tekanan yang menghimpit.

"Esok penting, Ash. Kau kena fokus," sambut Danish yang cuba menahan batuk. "Bukan aku sorang je. Kau pun kena kuat. Kita semua tahu apa yang menanti kita esok..."

Ashraf memejamkan mata seketika, cuba meredakan keresahan yang membara. "Misi ni... bunuh Marc...aku..." kata-katanya tergantung, terasa berat.

Fikirannya berserabut dengan bayangan apa yang mungkin terjadi. Jika misi itu gagal, jika mereka terperangkap...

Khairul menepuk stereng perlahan, matanya terarah kepada Ashraf. "Hey, dengar sini. Kita buat ni sama-sama. Kau bukan sorang-sorang, Ash. Aku dan Danish ada."

"Tapi aku... aku tak tahu kalau aku mampu. Semuanya semakin kusut," ujar Ashraf, akhirnya meluahkan apa yang terpendam. Bahunya terasa seberat dunia. "Aku rasa... macam aku nak putus asa. Aku dah penat nak hadap semua benda...."

Danish dan Khairul saling berpandangan, kedua-duanya tahu betapa Ashraf sedang bergelut dengan tekanan. Tanpa sepatah kata, mereka serentak mengulurkan tangan ke bahu Ashraf, memberikan sokongan yang tak perlu diungkap dengan kata-kata.

Ashraf mendongak, matanya bertemu dengan mata kedua-dua sahabatnya. Dia melihat harapan, keyakinan, dan semangat mereka.

Pada saat itu, Ashraf tersedar — dia tidak keseorangan. Walau sebesar mana sekalipun musuh yang mereka hadapi, mereka masih mempunyai antara satu sama lain. Sinar harapan mula terbit dalam hatinya yang tadi kelam.

THE SHADOW BETWEEN USWhere stories live. Discover now