Suasana dalam kereta Aston Martin itu sunyi dan sedikit tegang. Hanya bunyi enjin yang lembut mengisi ruang, sesekali diiringi dengan deruan angin yang memukul tingkap.
Aira memandang keluar jendela, mengelak daripada menatap Ashraf yang sedang memandu. Dia masih memikirkan perasaan yang berbaur—mabuk hati, letih, dan keliru. Tangannya memegang perut yang semakin dirasakan tidak selesa.
Ashraf, yang memegang erat stereng, cuba kelihatan tenang. Namun, di sebalik wajah dinginnya, dia mencari jalan untuk meredakan suasana.
Beberapa minit berlalu, terasa seperti jam, namun tiada sepatah perkataan pun terucap antara mereka.
Ashraf akhirnya menarik nafas dalam-dalam, memecahkan kebuntuan. "Aira..." suaranya lembut, cuba menarik perhatian.
Aira tetap diam, matanya masih terpaku keluar tingkap. Pandangannya kosong, seolah-olah tidak mendengar panggilan itu. Ashraf mengetap bibirnya perlahan, tetapi tidak mahu berputus asa.
"Kau okay tak? Sejak tadi diam je. Aku tahu kau tak sihat," dia cuba lagi, kali ini lebih lembut.
Aira memalingkan wajahnya sedikit, namun masih tidak menatap Ashraf. "Nothing. I'm fine."
Hanya tiga perkataan yang dikeluarkan Aira, cukup untuk menyatakan bahawa dia tidak mahu berbicara. Jawapan itu lebih dingin daripada udara dalam kereta yang berpenghawa dingin.
Ashraf mengetap bibir, cuba memikirkan cara lain. Dia sudah lama mengenali Aira, tahu bahawa dia tidak mudah mengalah atau berkongsi rasa jika dia sedang terluka atau kecewa. Tetapi Ashraf juga bukan jenis yang akan membiarkan suasana tegang berlarutan.
Lalu, pandangannya terpaku pada sebuah kedai di sebelah kanan jalan. Kedai itu sederhana, namun jelas penuh dengan orang yang beratur di luar.
"Eh, kau tengok tu!" Ashraf tiba-tiba bersuara, cuba menyuntik sedikit keceriaan dalam suara tenangnya.
Aira memandang ke arah yang ditunjukkan Ashraf, kedai kecil yang dihiasi lampu neon warna-warni, menarik perhatian ramai. Namun wajah Aira tetap tiada reaksi. "Kenapa dengan kedai tu?"
Ashraf tersenyum kecil, cuba menggoda. "Kedai aiskrim tu viral sekarang. Kau makan aiskrim dia, boleh keluar asap dari mulut. Cool, kan?" Dia memandang Aira dengan penuh harapan, berharap sedikit keterujaannya akan meraih reaksi dari isterinya.
Namun, Aira hanya mengangkat bahu dengan acuh tak acuh. "Macam budak-budak je benda tu."
Ashraf mengeluh perlahan. Dia gagal lagi.
'Apa yang kau buat, Ash? Kenapa susah sangat nak berbual dengan dia?' fikirnya.
Suasana menjadi senyap kembali. Mereka kembali dalam diam, masing-masing tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Ashraf memandang ke depan, cuba fokus pada pemanduan, tapi fikirannya sudah jauh.
Matanya mencuri pandang ke arah Aira sesekali, terasa seolah-olah ada tembok tinggi antara mereka yang dia tak mampu robohkan.
Beberapa minit berlalu, sepi... hinggalah Aira akhirnya bersuara. Suaranya perlahan, hampir tenggelam dalam bunyi enjin kereta.
"Ash..." Aira memulakan, nada suaranya berhati-hati. "Apa sebenarnya yang berlaku malam tu?"
Ashraf mengetatkan genggaman pada stereng. Dia tahu apa yang Aira maksudkan dengan 'malam tu'.
Malam yang merubah segala-galanya.
Matanya tetap tertumpu ke jalan, tetapi mindanya kembali melayang ke hari yang penuh dengan darah dan kehilangan.
"Aizat..." Aira menyambung, nadanya bergetar sedikit. "Apa yang terjadi pada dia? Betul ke kau sengaja tinggalkan dia?"
Ashraf menarik nafas panjang sebelum menjawab. Suaranya rendah, ada keperitan yang terpendam di sebaliknya. "Malam tu... aku, Arshad, dan Aizat ada dalam satu misi. Satu team. Kami tak sangka Bloodies akan serang mengejut. Semuanya berlaku terlalu cepat." Ashraf bergetar seketika, mengingat detik-detik itu yang masih segar dalam ingatannya.
YOU ARE READING
THE SHADOW BETWEEN US
ActionAshraf Rizzi D'Valentini: Jejaka bermata biru yang dibesarkan dalam bayangan kematian, seorang mafia terkenal yang memburu pembunuh abang kembarnya, Arshad. Pada usia 24 tahun, dia telah menundukkan banyak musuh, menyembunyikan identiti dibawah nama...