BAB50: HARAPAN BARU

4 0 0
                                    

Aira duduk di kafe kecil itu, pandangannya melayang keluar tingkap yang menampilkan suasana yang sibuk di jalan raya. Dia meneguk air putih perlahan, cuba menyembunyikan perasaan bercelarunya di sebalik senyuman lemah yang tak seceria biasa. Azril duduk di hadapannya, memandangnya dengan riak prihatin.

"Aira, awak nampak... lesu sangat ni," Azril memulakan bicara sambil mencondongkan badannya sedikit ke hadapan, matanya penuh perhatian. "Serius...awak ok?"

Aira tersentak sedikit, namun dia cuba mengekalkan senyuman kecil di wajah. "Ye ke? Saya rasa ok je sebenarnya," balasnya, gelak kecil keluar dari bibir, namun jelas kelihatan sedikit terpaksa. Dia tak mahu kelihatan lemah di hadapan Azril. "Mungkin sebab penat kerja kot... banyak benda nak kena fikir akhir-akhir ni."

Azril memandang tepat ke arah wajah Aira, menggeleng kecil. "Penat kerja sampai eyebag besar macam ni? Mata bengkak sikit tu, Aira. Awak jangan paksa diri sangat kerja pun. Awak tu suka sangat tolong ganti kan shift doktor lain. "

Aira hanya mampu tergelak kecil lagi, walaupun dalam hatinya terasa seperti tersentak. "Takdelah, Ril... betul ni. Saya ok je. Cuma ya lah... penat sikit kot. Lagipun, musim ni kan sibuk. Banyak sangat kes yang nak difikirkan. Lepas satu, satu."

Azril menghela nafas panjang, tapi senyuman tak pudar dari wajahnya. "Ye lah sampai demam awak kan..." sindirnya lembut.

Aira hanya tersenyum nipis. Dia tahu Azril perasan keadaannya, namun dia tak mahu menambah beban dengan cerita sebenar. Dalam hatinya, dia masih resah memikirkan mesej Ashraf yang belum dibalas. Sebenarnya, itulah yang membebankan fikiran dan perasaannya.

Beberapa minit kemudian, pelayan kafe tiba membawa pesanan mereka. Azril memesan hidangan pasta Alfredo yang nampak kaya dengan keju dan sos krim, manakala Aira memilih sekadar salad hijau dengan sedikit dressing lemon.

Salad yang paling ringan di menu, kerana dia memang tak ada selera makan. Hanya kerana Azril mengajaknya keluar makan, dia rasa tak sedap hati untuk menolak dan dia juga mahu menghirup udara segar.

Azril mengangkat kening melihat pesanan Aira. "Salad je?" Dia meletakkan garpunya sebelum menyambung, "Awak tak lapar ke? Kenyang ke makan ni je?"

Aira cepat-cepat menelan kepingan salad yang baru dia masukkan ke mulut. "Oh, tak... saya tak lapar sangat. Pagi tadi dah makan berat dah." Dia tersenyum kecil, cuba mengalih perhatian dari rasa bersalah yang berlegar dalam dirinya.

"Makan apa pagi tadi?" Azril bertanya sambil mengambil suapan pasta.

"Nasi lemak," Aira menjawab tanpa berfikir panjang, walaupun hakikatnya dia tak makan apa-apa sejak diculik. Perutnya seakan kosong, tapi dia cuba berlagak tenang.

Azril hanya angguk, tidak menyedari kepalsuan di sebalik jawapan Aira. Mereka meneruskan perbualan, berbual tentang kerja mereka, berkongsi tentang kes-kes baru yang mereka hadapi di hospital.

Azril yang juga seorang doktor, malah rakan sekerja Aira, sentiasa berusaha memastikan Aira tenang dan tidak terlalu tertekan. Dia tahu Aira melalui masa sukar sejak kebelakangan ini.

Namun, di sebalik percakapan mereka yang santai, ada sesuatu yang Azril ingin tahu—dan dia tak mampu menahan rasa ingin tahu itu lebih lama.

"Suami awak... dia kerja ke sekarang?" Azril tiba-tiba menyoal, sedikit gugup.

Aira hampir terbatuk, terkejut dengan soalan itu. Dia mengangkat wajahnya sedikit, memandang Azril sebelum cepat-cepat menjawab. "Ya, dia kerja. Sibuk sikit kebelakangan ni." Dia cuba menenangkan suaranya, menyembunyikan keresahan dalam nada.

Azril angguk, tapi dalam hatinya, dia tahu lebih dari itu. Baru-baru ini, dia dapat tahu bahawa Aira sebenarnya sudah berkahwin dengan Ashraf Rizzi D'Valentini, anak CEO AstraGlobal Trading—seorang lelaki yang terkenal dengan kekayaan dan pengaruh yang luas.

THE SHADOW BETWEEN USWhere stories live. Discover now