BAB 48: KEMUNGKINAN TERBURUK

4 0 0
                                    

Aira mengeluh perlahan ketika melihat nota kecil yang diletakkan Aiden di atas dulang makanan di luar pintu biliknya. Tulisan tangan Aiden yang kemas dan ringkas tertera,

'Makanlah sikit, dik. Nanti sakit'.

Dia tahu abangnya itu risau, tapi dirinya belum bersedia untuk menghadapi apa-apa, termasuklah makanan di hadapannya itu.

Tadi Aiden sudah beberapa kali mengetuk pintu, memanggil namanya dengan lembut, namun Aira tetap enggan keluar. Dia terlalu sibuk dengan fikirannya sendiri. Sesak, buntu, keliru. Semuanya bercampur aduk di dalam benaknya. Kadang dia terlelap, kadang dia menangis.

Mata Aira memerhati sekeliling rumah yang sunyi. Rumah Aiden yang biasanya dipenuhi bunyi suara abangnya itu kini kosong. Aiden mungkin sudah pergi ke pejabat, meninggalkan makanan untuknya tanpa perlu memaksa.

Aira mendekati dulang itu, melihat teh panas dan roti telur hancur yang ditinggalkan, tetapi tekaknya terasa kering dan perutnya tidak mampu menerima apa-apa lagi selain air kosong.

Dia berjalan ke dapur, membuka peti sejuk, dan mengambil sebotol air mineral. Botol air itu terasa sejuk di tangannya, memberikan sedikit kelegaan kepada fikirannya yang sedang bergolak. Ketika air sejuk mengalir melalui kerongkongnya, sedikit pun tidak menghilangkan perasaan hiba yang masih mencengkam hati.

Fikirannya kembali teringatkan Aizat. Wajah abang sulungnya yang sering tersenyum dalam ingatannya, kini hilang selamanya. Kenapa? Kenapa Ashraf tergamak meninggalkan abangnya demi menyelamatkan diri sendiri? Kenapa suaminya sanggup menjadi begitu kejam? Soalan-soalan itu terus bermain di kepalanya, menghantui setiap fikirannya, membuatkan emosinya semakin bercelaru.

"Ashraf..." bisiknya perlahan, tetapi tiada siapa yang mendengarnya. Hanya dinding rumah Aiden yang menjadi saksi kepada kesedihannya.

Aira meletakkan botol air di atas kaunter dapur dan memandang pergelangan tangannya yang masih dibalut kemas oleh Iskandar. Dia teringat semula detik dia ditahan.

Bagaimana Ashraf, walaupun nampak dingin dan jauh, tetap berusaha menyelamatkannya. Bagaimana Ashraf tergesa-gesa berjuang, berdepan dengan musuh tanpa memikirkan keselamatannya sendiri. Ekspresi cemas Ashraf pada masa itu tidak dapat dilupakannya.

"Kenapa..." Aira mengeluh untuk entah kali keberapa. Dia benci Ashraf kerana kehilangan Aizat, tetapi dalam masa yang sama, ada sebahagian hatinya yang masih menyayangi lelaki itu. Perasaannya terlalu rumit, terlalu sukar untuk difahami. "Complicated..." bisiknya lagi.

Dia meninggalkan dapur dan melangkah semula ke bilik. Hatinya penuh kekusutan, dia perlukan masa untuk menenangkan diri, dan mungkin mandi dapat membantu.

Di dalam bilik tetamu itu, pandangannya tertancap pada telefon bimbit yang terletak di atas katil. Telefon yang diberikan Ashraf sebelum mereka keluar dari markas trio malam itu.

Aira mengambil telefon itu dengan perasaan berat, membuka skrin dan melihat beberapa panggilan tidak dijawab. Hampir kesemuanya dari Ashraf. Jantungnya berdegup kencang, tetapi dia enggan berfikir tentangnya sekarang. Dia terus menggulung skrin ke bawah hingga terlihat satu nama yang lain. Azril.

Panggilan dari Azril berderet-deret. Pastinya sebab dia tidak masuk kerja secara tiba-tiba untuk beberapa hari. Dan di saat dia berfikir apa alasan yang patut diberikan, satu lagi panggilan masuk. Nama Azril tertera lagi di skrin.

"Ah, Azril..." Aira menarik nafas panjang sebelum akhirnya menekan butang hijau.

"Hello, Azril..." Suaranya cuba kedengaran tenang, menyembunyikan kekusutan yang sedang bergelora di dalam dirinya.

"Hello Aira. Eh, awak okay ke? Kenapa awak tak masuk kerja? Awak sakit ke?" suara Azril jelas kedengaran risau di hujung talian.

Aira diam sejenak. Dia memandang keluar tingkap bilik, otaknya ligat mencari alasan. "Err... ya, saya... saya demam panas secara tiba-tiba. Tak sempat nak bagitahu... Sorry."

THE SHADOW BETWEEN USWhere stories live. Discover now