Surat Cinta Untuk Angkasa

59 1 0
                                    

Saudara angkasa yang ku cintai,

Telah lebih sepurnama saudara berwarna kelabu. Berkabus namun tidak nyaman. Mendung namun tetap berbahang. Apakah saudara terluka dengan perbuatan manusia-manusia kejam itu?

Ketahuilah saya juga turut merasakan penderitaan saudara. Saya juga berpedih mata melihat saudara diperlakukan begini. Saya jua tersesak hela nafasnya menghadapi penyeksaan saudara.

Ketika ini, kelihatan ramai manusia secara lahiriahnya mengenakan topeng, meski manusia bertopeng itu bukanlah suatu yang menghairankan. Manusia memang bermuka-muka. Sehingga tidak aneh untuk saya katakan, ada yang hanya bermanis muka menagih sokongan lantas bila dijulang menjadi penguasa; dia curang.

Penguasa di kawasan saya bagaikan terkunci mulutnya dan terantai jasadnya. Bacul membiarkan sahaja jiran merosakkan saudara. Apa kita tidak lagi punya garis undang-undang untuk membendung kekejaman ini?

Telah terlalu lama dibiarkan sahaja manusia-manusia yang pentingkan diri menjadikan pembakaran hutan dan ladang sebagai acara tahunan. Mereka menjana laba, namun kita dipasak derita dengan asap yang ghairah berpesta. Apa sebenarnya hak yang kita ada?

Siapakah orang yang kejam memilih pimpinan yang kejam begini? Oh sesungguhnya saya perlu memerangi orang sebegini.

Sebagai individu secara tunggal, saya hanya mampu melupusan sisa buangan tanpa perlu membakar; mematikan enjin kereta jika kenderaan tidak perlu bergerak; biarlah saya menunggu dalam hawa yang tidak sejuk namun membiarkan saudara tenat bukanlah kesanggupan saya.

Sudah susut biaya saya kerana uzurnya saudara. Saya perlu berkurung dalam bangunan. Cahaya semulajadi tidak menerobos tingkap yang tertutup, maka saya perlu menyalakan cahaya buatan dengan menekan punat di dinding. Apabila kurang sihat, saya perlu membelanjakan simpanan untuk memulihkan jasad saya. Saya juga membeli topeng seperti dinasihatkan penguasa; dengan harga kapitalis. Menghidupkan penapis udara juga tidak murah. Ditambah lagi penggunaan elektrik dijerat oleh 6% yang dihirup penjajah dari kalangan orang asal.

Entah bila teknologi negara saya diami ini mampu dipertingkatkan lagi kejituaannya mengukur tahap butiran-butiran seni yang terapung-apung di wajah saudara. Pemegang kocek kekayaan negara culas berbelanja. Sedangkan ilmuan di institusi perlu mencari biaya sendiri, jemaah penguasa hanya bersenang-senang mengutip 6% tanpa belas.

Maaflah saudara, warkah ini asalnya dilayangkan untuk mengadu dan memerihalkan cinta kita. Akan tetapi telah saya cemari dengan noda mengatakan perihal kebencian saya ketika ini.

Moga saudara kembali segar dan sihat seperti sediakala. Moga awan gelap bisa menangisi nasib kita, agar tersuci kembali warna saudara itu. Moga Tuhan jua memberi balasan kepada musuh-musuh yang berbuat khianat kepada kita.

Ketemu lagi di halaman yang lain. Salam sayang.

**Turut disiarkan dalam #ZineJerebu, sebuah naskah percuma untuk masyarakat. Sila layari pautan ini untuk karya penulis-penulis lain https://drive.google.com/file/d/0B3ybCoE5GmBHUWR2MWRmR04ySFE/view?pli=1

Debu yang TercontengWhere stories live. Discover now