Allergen

60 2 0
                                    

Kamu umpama allergen bagi aku yang mengakibatkan kerengsaan apabila aku terdedah dengan kamu. Iritasinya bikin aku tidak selesa dan sebetulnya aku perlu menjauhi kamu.

Allergen seperti kamu tiada ubatnya, hanya bikin aku semakin tidak selesa dan kadangkala mengakibatkan keradangan. Bengkak memerah, hendak digaru nyamannya cuma sementara saja; sesudah itu keadaannya makin melarat. Hendak dibiarkan, mengalir tangisanku menahan azabnya. Anti-histamine tidak berupaya membantu masalah ini. Aku buntu.

Pernah juga aku cuba-cuba sapukan salap dengan harapan aku bakal sembuh. Nyatanya, mengecewakan. Serangan kamu lebih kuat berbanding jangkaan aku. Biarpun aku telah mengambil langkah berhati-hati agar tidak berdepan dengan kamu, namun sia-sia sahaja.

Kamu seperti debu yang dibawa angin, sukar bagi aku untuk menghindar. Aku mahu nikmat dibuai angin, namun aku perlu dihinggapi debu. Meski cuma debu, kesannya besar. Maka lama-kelamaan aku malas mahu mempedulikan hal ini.

Ketidakselesaan begini aku tak hirau, apa nak jadi jadilah. Aku tetap mahu bermain bersama angin. Barangkali aku sudah boleh menyesuaikan diri, kali ini aku tidak lagi berdepan reaksi alergik bila berdepan dengan debu. Seperti sudah lali.

Lega. Aku sudah semakin kuat. Entah mengapa, ada tersisa rindu teringatkan kesakitan lalu. Aneh. Asalnya aku hanya beri perhatian kepada keriangan aku bermain bersama angin. Mengapa perlu ambil berat berkenaan hal-hal debu yang tidak lagi beri kesan kepada aku?

Debu yang TercontengWhere stories live. Discover now