Baru Hari Rabu

37 2 0
                                    

Hari ini baru hari Rabu
Hari pertengahan minggu
Harus tunggu tiga hari lagi
Sabtu akan muncul kembali

Bila hari Sabtu  pun datang
Dari pelabuhan Pasir Gudang
Abah akan balik ke rumah
Dan bawakan pelbagai hadiah

Hanya hujung minggu sahaja
Abah akan rehat dari kerja
Kami adik-beradik ketawa suka
Bila abah ajak bermain sama

Nanti tiba sahaja hari Ahad
Hati kami semua jadi berat
Abah harus pergi ke kapal
Buat menyuap rezeki halal

Ah jarak sememangnya kejam!
Mendera rindu diperam pendam
Air mata berderaian di bantal
Usikan perasaan terlalu nakal

Tapi biar jarak terpisah di tanah
Lupa langsung tak akan pernah
Lewat tadahan tangan usai solat
Doa menjadikan hati mendekat

Sebegitulah masa kecil dahulu
Belajar mengurus hal ehwal rindu
Kala bapa orang lain sentiasa di rumah
Kami dilazimi rutin yang sedikit susah

Hari Rabu hari menunggu
Menanti tibanya hari Sabtu
Tiga hari abah tak di sini
Ada tiga hari lagi berbaki

Debu yang TercontengWhere stories live. Discover now