Semoga Terpilih

28 2 6
                                    

Dalam sajak-sajak, aku sering kali menjadi mangsa dan penyelamat diriku sendiri. Dan kali ini tidak. Tidak lagi.

Aku melepaskan semua dendam yang merantai kemarahanku. Dengan cara ini, kedamaian bisa aku dapatkan kembali. Tidak perlu dikenang dan ditimbang salah siapa, tak perlu diusung dan dijunjung perkara yang tak memberi untung. Sedang aku juga punya silapku sendiri, gagal menurut janji malah mudah dipengaruhi kehendak hati.

Setulusnya aku lepaskan, tanpa rasa keterpaksaan patuh kepada tekanan orang-orang sekeliling. Bukan juga untuk membela ego, jauh sekali berpura-pura mulia. Tidak lagi berjarak dengan niat menghitung rajuk. Aku cuma tak mahu runsing dengan hal-hal yang aku tak mampu ubah, sementelah bukan dayaku mengawal manusia termasuklah mengawal diri sendiri. Cukuplah dengan lelah yang ini.

Cuma mungkin tak keterlaluan aku inginkan dia beroleh keberanian dan kebahagiaan dengan orang yang dia senangi. Dan harapnya sebanyak itu juga orang itu dapat membalasnya. Usah lagi ada orang seperti aku yang merumitkan segala yang sudah sedia ada sulit.

Diuji dengan kesakitan ada kalanya bikin aku jadi pentingkan diri tapi tak perlu sesiapa fahami. Ini pertarunganku dengan rasa percayaku.

Aku ingin pulang ke sisi Abadi dengan serba putih dan hati yang pulih; menjadi yang terpilih. Semoga.

Debu yang TercontengWhere stories live. Discover now