Perihal Cahaya Kuning

64 6 0
                                    

Dari kejauhan itu aku nampak cahaya kuning yang pernah aku kejar. Yang pernah aku layangkan harapan untuk sentiasa bahagia diteranginya. Yang pernah aku mohon sungguh-sungguh kala aku bicara sama Tuhan.

Namun untung saja, aku hanya minta kalau cahaya kuning itu yang terbaik buat aku maka dekatkanlah ia. Andai kata sebaliknya, aku mohon Tuhan jarakkan aku darinya dan pudarkan inginku dengan warnanya. Sekiranya aku berkeras ingin berdamping cahaya kuning itu lantas doa itu diperkenan, mungkin aku terus-terusan dilukainya.

Sungguhpun aku bingung untuk menerima jawapan Tuhan pada awalnya, ternyata Tuhan sememangnya lebih tahu. Apabila terdedah terlalu lama dengan cahaya kuning, ia tegar merosakkan. Maka dengan itu, aku terpisah dan dihanyutkan menjauhinya sebelum aku sempat mendekatinya.

Aku akur dengan hati sebal. Tatkala mula melayari bahtera, aku masih menoleh padanya. Mengucapkan selamat tinggal meski tanpa ia mengucapkan selamat jalan buat aku.

Kini aku nampak beberapa jasad hampir saja termusnah dek selaran cahaya kuning itu. Mereka mengadu padaku perihal peritnya menanggung kepedihan mendampingi cahaya kuning. Tanya mereka, apakah kami kurang cocok buat cahaya kuning? Aku hanya berdiam. Entah. Bukan aku yang punya kuasa buat mengaturkan kesesuaian jasad dengan cahaya.

Hanya yang mampu aku pesan, kenalilah sifatnya dan sifat kalian, maka akan kalian mengerti sama ada berbaloi berdamping dengan cahaya itu. Aku telah berpindah. Aku harap kalian turut sama.

Usahlah terbuai dengan keindahan cahaya yang hanya terlihat elok di kejauhan mata. Kenalilah. Oleh itu, kalian akan fahami. Andai saja cahaya itu sudi mengasihi kalian, pastinya ia akan berubah untuk tidak menyakiti. Jelasnya ia masih cahaya kuning, siapa tahu jasad yang mana mungkin akan bertahan?

Syukur. Tuhan menciptakan cahaya kuning itu untuk aku pelajari, hindarilah apa yang tidak sepadan buatku. Terima kasih. Aku kini semakin celik dan akan cuba menyedarkan penggila cahaya kuning; usah tergoda kepada perkara yang membinasa.

Cahaya lain akan aku temui esok hari. Moga warnanya bukanlah kuning.

Debu yang TercontengWhere stories live. Discover now