Beginning II

3.6K 275 29
                                    

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> Emma Watson as Farra (Huruf F).




BAB 1 : PERMULAAN (BAHAGIAN II)




"Dah selesai?" Tanya Aieyn ketika menyandang begnya sambil memegang satu lagi beg kecil di tangan kirinya.

Farra hanya mengangguk-angguk tidak bersuara kemudian turut menyandang begnya. Dia mencapai semua barang-barang miliknya kemudian menyusul Aieyn keluar menuju ke tempat kereta diletakkan betul-betul di hadapan pintu rumah itu. Hujan masih lagi lebat seolah-olah ingin meruntuhkan rumah kayu yang uzur itu. Farra memandang Aieyn yang kini mulutnya sudah mula terkumat-kamit mengomel mengenai hujan walaupun tiada siapa yang mendengar. Dia sudah tidak peduli dengan gadis itu. Setiap kali hari hujan, Aieyn akan mengomel dan dia adalah orang yang terpaksa mendengar setiap leterannya.

"Awak pandu." Farra menghulurkan kunci kereta pada Aieyn.

Gadis berambut perang semula jadi yang pada ketika itu sudah lengkap sedia berbaju hujan hanya menyambut kunci itu tanpa apa-apa balasan. Hanya wajahnya sahaja yang tinggal belum ditutup lagi. Farra segera berlari meredah hujan yang hanya bergantung pada penyelubung kepala jaket yang dipakainya kemudian segera masuk ke tempat duduk di sebelah pemandu.

Aieyn mendengus kuat kemudian membuka payung yang berada ditangannya. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke tempat duduk pemandu. Dia langsung tidak mahu terkena setitik pun air hujan itu seolah-olah dia akan terkena jangkitan kuman yang sukar untuk sembuh jika ia terjadi. Baginya air adalah musuhnya. Jika mandi, dia akan memanaskan dahulu air tersebut. Memastikan semuanya selamat. Dia membuka kesemua jaket yang dipakai kemudian meletakkannya di tempat duduk belakang sambil menarik nafas lega yang entah bila masa ditahannya.

"Fuh... Sekarang dah boleh jalan." Aieyn mencapai sehelai kertas dari dalam laci di tempat duduk berhadapan dengan Farra kemudian menghulurkannya pada gadis itu. "Awak tengok peta ni. Nanti kita sesat lagi."

Farra tidak membantah sebaliknya mencapai kertas itu dengan tidak yakin sama sekali. Maklumlah, tempat itu pertama kali mereka kunjungi dan peta adalah benda terbaik yang boleh mereka harapkan walaupun ia juga agak sukar untuk dibaca. Enjin kereta dihidupkan dan mereka mula berjalan meredah hujan pada malam itu.

Aieyn memandu kereta itu dengan tenang di malam yang sunyi dan hanya ditemani bunyi hujan yang memukul atap kereta. Dia merenung jalan yang ada di hadapannya penuh berhati-hati kerana takut akan ada sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Sudah hampir setengah jam mereka langsung tidak bersuara. Farra yang duduk di tempat duduk penumpang sambil masih memegang peta yang diberikan tadi juga tidak membuka mulut. Gadis itu mencuba sedaya-upaya untuk mengamati peta itu dengan tekun tetapi jelas dia tidak tahu apa-apa. Sukar baginya membaca benda yang aneh baginya itu.

"Kita cari siapa sebenarnya ni?" tanya Aieyn yang sudah kebosanan dengan suasana sunyi yang menyelubungi mereka sejak tadi.

"Awak buat lawak ke?" Balas Farra tanpa memandang wajah gadis itu. Dia masih lagi cuba membaca peta yang ada di tangannya itu walaupun dia tahu itu amat mustahil untuk dilakukan.

"Nampak saya ni macam buat lawak ke?" Dengus Aieyn sambil membetulkan cengkamannya pada stereng kereta.

"Apa lagi yang kita cari," Farra memandang Aieyn dengan dahi berkerut. "Orang macam kitalah."

"Itu saya tahu." Aieyn bersuara sambil matanya masih memandang ke hadapan. Takut jika ada apa-apa terjadi kerana jalan agak licin berserta dengan keadaan yang amat gelap. "Takkan kita nak cari anak angkat kan? Tapi maksud saya... Siapa dia? Perempuan ke... Lelaki ke..."

"Mana lah saya tahu." Farra kembali memandang peta itu. "Saya cuma tahu di mana kita boleh cari dia. Itu je."

"Yalah." Aieyn hanya menarik nafas panjang kemudian kembali fokus dengan pemanduannya.

Tiba-tiba sahaja satu cahaya terpancar keluar dari tempat duduk betul-betul di belakang mereka. Aieyn yang terkejut dengan cahaya yang tiba-tiba muncul itu terus sahaja menekan brek kereta secara mengejut menyebabkan Farra memegang tali pinggang keselamatan yang sedang dipakainya untuk bertahan daripada terhantuk di hadapan. Serentak mereka berdua berpandangan kemudian menoleh ke belakang.

Kedengaran bunyi sesuatu sedang bergerak datang dari arah itu. Salah satu daripada beg sandang mereka yang terletak di situ bergerak-gerak seperti ada sesuatu di dalamnya yang meronta-ronta ingin keluar. Cahaya yang terang itu juga datang daripadanya. Farra segera mencapai beg itu lalu membukanya kerana ia adalah kepunyaannya. Dia mengeluarkan sebuah kotak keperakan yang kelihatan sangat antik dan sukar untuk dijumpai di mana-mana kedai pada zaman ini dengan corak beralun yang rumit. Cahaya yang terang itu keluar dari dalamnya.

Serta-merta Farra membuka kotak itu. Aieyn pula sudah memejamkan matanya kerana kesilauan. Farra hanya mampu mengecilkan matanya sambil memandang isi kandungan kotak keperakan itu. Cahayanya terlalu menyengat membuatkan dia hampir menutup kotak itu semula. Terdapat banyak rantai berwarna perak yang mempunyai buah berbentuk huruf di situ. Ianya sama dengan rantai yang tergantung di leher kedua-dua gadis itu. Salah satu daripada rantai-rantai tersebut kini sedang bercahaya terang.

Farra segera mencapai rantai itu dalam keadaan mengecilkan matanya akibat kesilauan yang baginya boleh membutakan matanya sendiri. Rantai yang berbuah huruf 'E' itu menyala sebelum hancur menjadi debu dan hilang dari pandangan. Farra dan Aieyn tercengang seketika kemudian berpandangan sesama sendiri.

"Okey..." Aieyn kini dalam keadaan bingung dengan tangannya masih memegang stereng kereta itu. "Apa yang dah jadi?"

Farra juga dalam keadaan tercengang. "Mereka dah jumpa salah satu daripada kita..." Dia mengelipkan matanya beberapa kali. "Dan sekarang dia dah terbunuh."

Aieyn beralih memandang gadis itu sambil mengerutkan dahinya. "Apa maksud awak?"

"Ingat tak..." Farra membalas pandangan Aieyn sambil mengeluarkan rantainya. "Kalau kita mati, rantai yang kita pakai ni pun akan turut musnah."

Aieyn berfikir seketika sambil melihat rantai yang tersangkut dilehernya. "Jadi... Sekarang ni..."

Farra mengangguk-angguk. "Huruf E dah mati."

Aieyn mendengus perlahankemudian kembali memandang ke hadapan. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakanpada ketika itu melainkan dia menghidupkan semula enjin kereta dan segerakembali kepada pemanduannya.





A/n : Kadang lucu jgk tengok persahabatan mereka ni. Especially Aieyn. Lucu bila tengok dia tak nak langsung kena air. Untuk watak Farra, saya bagi Emma Watson. Cast ni untuk senang korang nak imagine. Tak ada kena-mengena sangat dengan pembikinan karakter. Hahaha. Well, wait for the next part. Leave me your feedback. :)

> VOTE & COMMENT <

Huruf ✔Where stories live. Discover now