The Power Of Water I

2.4K 215 15
                                    

>>>>>>>>>>>>>>> The picture of Jyra's cast. Anna Kendrick. (Huruf J)


BAB 8 : KUASA AIR


Farra melangkah masuk ke dalam sebuah bangunan terbuka yang agak sunyi sambil melibas-libas jaketnya yang kini agak basah. Hujan yang lebat mencurah menyebabkan dia terpaksa berteduh di situ kerana hanya itu tempat yang paling hampir dilihatnya. Hampir seluruh badannya lembap termasuk rambutnya membuatkan dia mula berasa kurang selesa. Keluhan dilepaskan apabila memandang keadaan di luar sana.

Tiba-tiba sahaja Aieyn muncul di dalam fikirannya. Entah apa yang kawan baiknya itu sedang lakukan pada saat ini. Adakah dia dapat mengawal dirinya? Ataupun gadis itu tengah menembakkan kuasanya ke sini-sana sambil menyumpah seranah. Bayangan itu membuatkan dia tersengih sendiri.

Farra memandang sekeliling bangunan itu cuba mencari jika ada sesiapa di situ untuk memastikan tidak menjadi kesalahan untuk berteduh seketika. Nanti tidak tentu pasal dia di marah kerana menceroboh. Akan tetapi, pintu bangunan itu terbuka luas seolah-olah dibuka untuk sesiapa sahaja. Bangunan itu juga hanya satu dan memanjang ke atas tanpa tangga. Ia seperti sebuah dewan.

Pandangannya kini tertarik pada sebuah piano berwarna putih yang berada ditengah-tengah ruangan itu. Dia berkerut seketika bingung. Agak pelik ia berada di dalam dewan yang kosong itu.

"Wah..." Farra merasa kagum melihat piano besar yang cantik itu kemudian memandang sekeliling.

Setelah memastikan benar-benar tiada orang di situ selain dirinya, dia terus mendekati piano itu dengan wajah yang masih teruja. Ada beberapa kertas muzik yang menunjukkan not-not yang sukar difahami bagi seseorang sepertinya. Dia ternganga sendirian kemudian mula menekan secara rawak not-not pada piano itu menggunakan jari telunjuk kanannya membuatkan bunyi bingit bergema di ruang dewan itu dan menyakitkan telinga.

"Ehem! Ehem!"

Farra tersentak seperti terkena renjatan elektrik entah dari mana. Tidak semena-mena sahaja dia jadi kaku tidak berani bergerak. Dia berhenti menekan piano itu apabila dia terdengar seseorang berdehem kuat di belakangnya.

Perlahan-lahan dia menoleh dengan gerakan seperti robot. Seorang lelaki tinggi lampai dengan rambut hitam bersinar dan bermata agak sepet berdiri dipintu sambil berpeluk tubuh memandangnya. Dia juga kelihatan agak basah mungkin kerana hujan yang lebat di luar sana.

"Awak nak belajar main piano ke?" tanya lelaki itu tiba-tiba dengan suara yang amat lembut sambil tersenyum manis.

"Ah... Tak!" Farra segera mengundurkan dirinya dari piano itu seolah-olah ia akan meletup tidak lama lagi.

Lelaki itu hampir berkerut kemudian mula berjalan masuk mendekati Farra dengan kedua-dua tangannya melibas baju dan rambutnya.

"Maaf..." Farra kelihatan agak gugup sambil cuba menyusun ayat. "Saya bukan nak buat apa..."

Lelaki itu segera tersengih kemudian mencapai kertas muzik yang berada di atas piano itu kemudian mula menyusunnya. Farra hanya mampu memandang setiap pergerakannya berharap tiada kesalahan yang dilakukannya.

"Saya ingatkan awak nak belajar piano tadi." ujar lelaki itu lembut dengan suara garaunya. "Oh, lupa pula nak kenalkan diri. Saya Rusdi."

"Oh." Farra hanya mengangguk janggal. Baginya, itu bukan masa untuk berkenalan dengan seseorang bagaimanapun bersyukur tiada kesalahan yang diutarakan.

"Siapa nama awak?" Tanya lelaki itu sopan.

"Farra."

Rusdi mengangguk-angguk kemudian kembali memandang kertas muzik yang dipegangnya tadi. "Saya guru piano di sini."

Huruf ✔Where stories live. Discover now